PASIR MAS – Memasuki hari ke-10 tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong di sini, tiada apa yang lebih diharapkan oleh seorang warga emas.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah, 70-an hanya mahu segera pulang ke rumahnya di Kampung Bakong dekat sini.
Namun, katanya, dia yang tinggal bersendirian di rumah itu tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hidup jika keluar dari PPS disebabkan rumahnya kini tidak lagi boleh didiami akibat musnah ditenggelami banjir.
Ujar Aminah, dia juga hanya mampu memandang dengan perasaan sedih dan sayu setiap kali pulang melihat harta benda dan pakaiannya yang rosak serta tidak dapat diselamatkan lagi.
“Sewaktu banjir melanda, rumah saya dinaiki air hampir mencecah paras bumbung tetapi saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri dan berpindah ke PPS ini.
“Jika diikutkan saya mahu pulang segera ke rumah saya tetapi saya tak boleh tinggal di rumah itu sekarang dengan semua kerosakan yang berlaku.
“Saya pun tidak tahu ke mana mahu pergi sekiranya PPS ini ditutup dan sangat berharap ada yang sudi membantu supaya saya dapat tinggal semula di rumah saya selepas ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di PPS SK Kedai Tanjong semalam.
Aminah merupakan sebahagian daripada 285 orang terdiri daripada 72 buah keluarga yang masih ditempatkan di PPS itu yang dibuka sejak 10 hari lalu ketika gelombang pertama banjir melanda negeri ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir yang masih berteduh di PPS tersebut, Razali Deraman, 54, turut buntu memikirkan nasibnya sekeluarga berikutan tidak dapat pulang ke rumahnya sehingga kini disebabkan masih ditenggelami banjir.
Razali yang juga tinggal di Kampung Sireh berkata, dia sekeluarga juga meninggalkan rumah sehelai sepinggang ketika banjir mula melanda dan tidak sempat menyelamatkan barangan berharga di dalam rumah mereka disebabkan air naik terlalu cepat.
“Semua peralatan elektrik, perabot dan pakaian saya sekeluarga musnah dan saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hidup selepas keluar dari PPS ini,” katanya.
Sehubungan itu, Razalil berharap sekiranya terdapat mana-mana pihak sudi meringankan beban mereka sekeluarga serta mangsa-mangsa banjir lain di kampung tersebut dengan menyumbang keperluan asas.
“Ketika ini saya sangat berharap jika ada mana-mana pihak yang boleh menyumbang seperti tilam, bantal, selimut, pakaian dan sebagainya disebabkan semua barangan ini di rumah kami dimusnahkan banjir,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Fauziah Mat, 60-an, juga terpaksa terus tinggal di PPS tersebut berikutan rumahnya masih belum selamat untuk didiami semula.
“Buat masa sekarang saya dengan anak-anak masih membersihkan rumah tetapi kami berdepan kekangan disebabkan tiada air bersih dan perlu menggunakan air perigi.
“Jadi saya harap ada mana-mana pihak seperti sukarelawan daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu kami membersihkan rumah supaya saya sekeluarga dapat pulang semula ke rumah dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette