KUANTAN – Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggangnya dikatakan dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Panching Utara di sini pada malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Mohd Shah Rizan Dol Said, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Bagaimanapun pemandu kereta Perodua Alza yang berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.
”Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 dalam perjalanan dari arah Panching menghala ke bandar Kuantan.
“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas ke di tengah jalan.
“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Perodua Alza dari arah belakang tidak sempat membrek lalu terlanggar mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette