PUTRAJAYA – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) akan memastikan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bebas daripada unsur buli dalam kalangan para pesertanya.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan agresif itu sukar menular jika para peserta berada dalam satu kawasan untuk tempoh masa singkat, berbanding di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
“Latihan PLKN di Rejimen 515 Askar Wataniah akan diambil dalam kalangan mereka yang tidak dapat masuk universiti dan itu pun selama 40 hari sahaja, selama tiga sesi panggilan.
“Tiga sesi ini dengan jumlah peserta keseluruhan kira-kira 40,000 orang dan dalam setiap sesi. Itu maknanya ada beberapa ribu peserta sahaja.
“Saya percaya mereka tidak bersama (tempoh lama), tak sama seperti kadet yang belajar dalam universiti, jadi kemungkinan soal buli dan dera itu mungkin tidak akan berlaku,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Latihan Nasional (PUSPAHANAS).
Sebelum ini, media melaporkan pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM yang didakwa di mahkamah kerana mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas bakal berdepan hukuman termasuk diberhentikan pengajian dan membayar balik semua wang tajaan.
Tertuduh Amirul Iskandar Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20.
Kejadian berlaku di akademi itu di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras, jam 11.45 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette