TUMPAT – Melihat keadaan rumah dinding kayu yang hampir tercabut serta lantai papan yang seperti mahu runtuh, tidak ada sesiapa pun yang sanggup untuk tinggal di situ lagi.
Ia seperti menunggu masa untuk roboh.
Namun bagi pasangan suami isteri, Mohd Abdul Rahman dan Zauyah Deraman yang masing-masing berusia 40 tahun tiada pilihan memandangkan rumah itu satu-satunya tempat mereka berteduh bersama empat anak selama ini.
Malah bagi Zauyah yang juga orang kelainan upaya (OKU), rumah itu menyimpan kenangan buatnya memandangkan ia rumah pusaka diwarisi daripada arwah ibunya, Fatimah Yusoff yang meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu.
Sehubungan itu, dia akan tetap mempertahankan rumah itu seperti yang diamanahkan arwah ibunya walaupun secara fizikal rumah tersebut tidak lagi selamat didiami selepas rosak teruk dilanda banjir minggu lalu.
“Jika diikutkan rumah saya ini memang dilanda banjir setiap tahun tetapi banjir kali ini paling teruk dalam sejarah hidup saya yang lahir dan membesar di sini.
“Tidak ada satu pun barang-barang sama ada peralatan elektrik, perabot atau pakaian kami anak-beranak yang dapat diselamatkan.
“Memang ujian Allah kali ini sangat berat tetapi kami reda kerana sekurang-kurangnya kami masih sempat menyelamatkan diri meskipun rumah ini tenggelam sehingga hampir melepasi kepala,” katanya ketika ditemui di Kampung Ana semalam.
Menurut Zauyah, meskipun putus harapan ekoran musibah yang melanda, dia dan suami akan tetap mencari jalan dan berusaha mempertahankan rumah pusakanya itu.
Dalam masa sama, dia turut berharap sekiranya ada mana-mana pihak sudi menghulurkan bantuan khususnya membaiki rumahnya itu supaya dapat didiami semula dengan selamat.
Selain itu keluarga mereka serta penduduk di kampung tersebut yang menjadi mangsa banjir turut terdesak untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi meneruskan kehidupan seharian.
“Saya berharap kerajaan negeri khususnya dapat menghantar bekalan air bersih segera untuk kegunaan harian kami khususnya untuk memasak sebab air perigi ketika ini tidak boleh digunakan kerana keruh dan berbau busuk,” katanya.
Sementara itu, Zauyah yang juga usahawan kecil-kecilan yang menjual telur masin menerusi online itu turut menanggung kerugian selepas kira-kira 600 biji stok jualannya dihanyutkan banjir.
Dia yang turut mempromosikan produk usahawan lain menerusi platform media sosial khususnya TikTok turut itu kini buntu memikirkan kerugian ditanggung akibat kerosakan produk-produk terbabit yang dimusnahkan banjir.
“Saya berharap dapat bangkit semula daripada ujian ini dan memohon pengikut-pengikut saya di laman TikTok dapat terus menyokong perniagaan saya selepas ini,” katanya.
Sementara itu, mana-mana pihak yang mahu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan Maybank di nombor akaun 153011043187 (Zauyah Deraman). – MalaysiaGazette