Esther Masulah

KOTA KINABALU – Esther Masulah, graduan Ijazah Sarjana Program Psikologi Kaunseling di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), menerima Ijazah Sarjana keduanya pada Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-26.

Beliau yang pernah memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari UMS melalui Pusat Pendidikan Fleksibel (UMSFLEC) pada tahun 2010, memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Psikologi Kaunseling.

Menurut Esther, kepercayaan terhadap UMS telah memberi keyakinan kepada beliau untuk meneruskan perjalanan akademiknya dalam bidang yang berbeza.

“Kepercayaan saya kepada UMS telah menjadi asbab untuk melanjutkan sarjana kedua dalam bidang Psikologi Kaunseling.

“Saya memilih bidang ini kerana saya bercadang untuk menjadikannya sebagai kerjaya selepas bersara kelak dengan tujuan membantu dalam kebajikan kaunseling,” katanya dalam kenyataan selepas menerima skrol di Dewan Canselor UMS hari ini.

Esther turut berkongsi beberapa cabaran yang dihadapi sepanjang pengajiannya.

Katanya, sebagai salah seorang pengurus kanan di Sabah Electricity Sdn. Bhd., beliau perlu bijak menguruskan masa antara kerjaya, keluarga dan pengajian.

“Saya bekerja di Sabah Electricity Sdn. Bhd. sebagai pengurus kanan. Keadaan tersebut memerlukan saya untuk bijak membahagikan masa pada waktu malam dan hujung minggu
untuk belajar.

“Antara cabaran lain semasa pengajian adalah sesi kaunseling yang sepatutnya dijalankan secara bersemuka terpaksa dilakukan secara dalam talian dan ia menyukarkan saya dan rakan-rakan seperjuangan untuk mendapatkan pelanggan bagi sesi kaunseling.

“Tempoh masa yang panjang, dari 2019 hingga 2024, adalah satu perjalanan yang penuh cabaran bagi saya untuk menyelesaikan pengajian sarjana kedua ini,” katanya.

Esther juga berharap pengajiannya dapat memberi inspirasi kepada anak-anaknya untuk terus melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya berharap agar pencapaian ini dapat mendorong anak-anak saya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Kalau emak kamu boleh buat, kamu pun boleh buat,” ujarnya sebak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast