KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Kedah menyifatkan usaha dan amanat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggariskan “road map” baharu kepada parti itu bersamaan pakej penjenamaan adalah jalan yang terbaik ketika ini.
Ketua Peneranganya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, BN Kedah yakin dan percaya garis panduan dan amanat yang diberikan oleh Pengerusi BN itu mampu memberi panduan dan jalan keluar kepada parti merungkaikan kekusutan serta memadamkan apa jua kekeliruan yang timbul.
“Barisan Nasional Negeri Kedah menggesa semua parti komponen agar mengenepikan ‘ego politik’ serta membuat pengorbanan bagi memastikan agar parti terus diterima rakyat dan pada masa yang sama kembali memulihkan imej bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Barisan Nasional Negeri Kedah juga menggesa, agar kesemua parti komponen dengan ikhlas ‘menghadam’ dan ‘memahami’ hala tuju baru Barisan Nasional dan pada masa yang sama berhenti menimbulkan persoalan remeh yang mampu menghancurkan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) berkata, parti pimpinannya itu mahu tampil dengan dasar-dasar progresif yang membina masa depan negara meliputi isu-isu seperti perubahan cuaca, teknologi hijau, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar-dasar progresif tersebut akan menjadi keutamaan BN memandangkan isu-isu berkenaan amat dekat dengan generasi baharu.
Ahmad Zahid berkata, dalam mengadaptasi perubahan, BN tidak boleh lagi berada di dalam ‘defensive mode’ dan anjakan mesti dilakukan dengan memanfaatkan teknologi, data dan media sosial yang semakin mendominasi pola pemikiran politik rakyat.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizi berkata, BN Kedah turut yakin, sambutan Jubli Emas BN semalam, mampu menjadi titik tolak kepada parti itu kembali mendapatkan kepercayaan rakyat setelah melalui beberapa saat hitam dipentas arus perdana politik negara. – MalaysiaGazette