GEORGE TOWN – Pas Pulau Pinang mendesak Kerajaan Madani memberi penjelasan berhubung isu titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak yang tular baru-baru ini.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan turut mempersoal kenyataan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyatakan titah adendum daripada Sultan Pahang, ketika baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah khabar angin, telah menimbulkan tanda tanya.
“Secara logiknya, adakah Datuk Nizar Najib berani mereka-reka titah daripada sultan? Sekiranya titah ini telah diberikan pada 29 Januari lalu mengapa ia disorok dan dinafikan oleh kerajaan sekarang?
“Maka jelaslah kerajaan derhaka terhadap titah sultan selain tindakan mereka bertentangan dengan rukun negara kedua dan keempat iaitu Kesetian kepada raja dan negara serta kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Muhammad Fawwaz, kerajaan sekarang juga dilihat membelakangkan prinsip perjuangan mereka yang menjunjung keadilan kepada semua pihak dalam mendapatkan pembelaan.
“Dalam kes ini, bekas perdana menteri (Najib) telah dinafikan haknya dalam mendapatkan pembelaan, malah dengan beraninya kerajaan sekarang cuba untuk mengganggu urusan perundangan.
“Oleh itu, Pas Pulau Pinang mendesak kerajaan tampil menyatakan hal sebenar dan membenarkan perintah adendum ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najilo Razak memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya bagi menyokong dakwaannya tentang kewujudan Titah adendum diraja yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa permohonan tersebut difailkan pada 3 Disember lepas.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib. Namun, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 September 2022. – MalaysiaGazette