KUALA LUMPUR – Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini menggerakkan misi bantuan ke Pantai Timur sebagai usaha membantu mangsa-mangsa banjir.
Ketuanya, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, tindakan diambil susulan pelancaran skuad sukarelawan berkenaan yang dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.
“Semalam, Datuk Seri Presiden dan lancarkan sukarelawan banjir BN. Hari ini kita akan bergerak ke Terengganu dan juga ke Kelantan.
“Pit stop kita yang pertama adalah di Terengganu, Kuala Nerus. Jadi orang Terenggganu kita jumpa malam ini,” katanya menerusi rakaman yang dimuat naik di Facebook.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menganjurkan misi bantuan untuk mangsa banjir di lima kawasan di tiga negeri dengan penghantaran 1,000 pek keperluan asas.
Misi itu dilaksanakan oleh sukarelawan BN termasuk 100 pelajar dari UMNO Siswa serta dibantu oleh Pemuda, Wanita dan Puteri BN.
Penganjuran misi bantuan itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN.
Bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di lima kawasan yang terjejas antaranya Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Skuad sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat itu bertugas untuk mengagihkan bantuan dan memberi sokongan kepada mangsa banjir yang terjejas.
Misi bantuan BN adalah sebahagian daripada usaha berterusan parti untuk meringankan beban mangsa banjir dan memastikan bantuan sampai ke tangan yang memerlukan dengan cepat dan berkesan.
Dengan semangat perpaduan dan kerjasama, skuad misi bantuan BN berharap dapat memberikan sedikit keringanan kepada mangsa yang sedang berhadapan dengan ujian berat akibat banjir. – MalaysiaGazette