Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara rasmi menerbitkan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian untuk Industri Komunikasi dan Multimedia (INSG), kerangka menyeluruh untuk meningkatkan keselamatan maklumat dan rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

INSG berfungsi sebagai satu kerangka amalan terbaik dan tidak mandatori buat masa ini.

Namun, SKMM menggalakkan pihak industri mengguna pakai amalan terbaik ini di dalam pengoperasian mereka sebagai sebahagian daripada langkah-langkah proaktif mereka dalam memperkukuh keselamatan siber bagi industri komunikasi dan multimedia.

Pendekatan ini memberi ruang kepada penyedia perkhidmatan untuk menyesuaikan diri dengan garis panduan tersebut serta memberikan maklum balas penambahbaikan.

INSG bukan bertujuan untuk menambah peraturan baharu, tetapi sebaliknya bertujuan meningkatkan keupayaan dan ketersediaan penyedia perkhidmatan dalam mengurus risiko siber, mengurangkan kebocoran data, meminimumkan gangguan melalui pengukuhan infrastruktur rangkaian, serta melindungi
pengguna-pengguna daripada ancaman dalam talian.

SKMM berkata, INSG merupakan satu langkah penting dalam melindungi ekosistem digital Malaysia, memastikan infrastruktur rangkaian yang selamat dan berdaya tahan untuk semua.

Ia mencerminkan usaha berterusan SKMM untuk menangani cabaran dalam landskap siber yang semakin kompleks sambil memupuk kepercayaan dan keselamatan dalam persekitaran digital negara.

Semasa fasa pembangunan INSG, SKMM telah secara aktif melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk firma keselamatan siber, perunding keselamatan, pemegang lesen (termasuk penyedia pusat data dan penyedia perkhidmatan awan), kementerian, agensi kerajaan, badan kawal selia,
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, dan forum di bawah SKMM.

Maklum balas, cadangan, dan pandangan yang diberikan telah dinilai dengan teliti dan yang mana bersesuaian, telah diserap ke dalam INSG.

Pendekatan inklusif dan telus ini mencerminkan komitmen SKMM untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan di samping memastikan amalan terbaik dalam pengurusan keselamatan siber dipatuhi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here