Tiga lelaki tempatan yang juga ahli sindiket along dibawa ke Mahkamah Pulau Pinang bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan culik, kurung seorang wanita Indonesia.

GEORGE TOWN – Tiga lelaki yang juga ahli sindiket ah ong direman selama empat hari bagi membantu siasatan menculik seorang wanita Indonesia dalam kejadian di Pulau Tikus di sini.

Perintah reman terhadap semua lelaki tempatan berusia 28 hingga 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri bermula hari ini sehingga 11 Disember depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa berusia 41 tahun yang merupakan pekerja bahagian pembersihan bersama dua lagi rakan senegaranya melakukan pinjaman masing-maaing berjumlah RM1,000 dengan sindiket tersebut pada tahun lalu.

Bagaimanapun, dua rakannya itu dikatakan gagal membayar pinjaman tersebut sebelum sindiket berkenaan bertindak melarikan mangsa menggunakan sebuah pacuan empat roda pada Khamis lalu di sebuah lokasi di Pulau Tikus di sini.

Mangsa berjaya melarikan diri selepas dikurung di sebuah kondominium di Bukit Mertajam dekat sini, selama dua hari sebelum membuat laporan polis dengan bantuan dengan penduduk tempatan di kawasan berkenaan.

Bertindak atas laporan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berjaya menahan tiga suspek yang disyaki terlibat kes tersebut dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam awal pagi tadi.

Difahamkan, polis masih mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam sindiket sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kes dan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast