ISKANDAR PUTERI – Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menyifatkan Arif Aiman Hanapi menampilkan prestasi luar biasa sehingga pasukannya berjaya menundukkan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-0 dalam aksi Liga Super di sini malam tadi.
Ketika skuad Harimau Selatan itu bergelut mencari ruang meruntuhkan benteng The City Boys, Pemain Paling Bernilai (MVP) 2023 itu meledak dua jaringan cantik hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti pada babak pertama permainan.
Bintang JDT itu mengambil masa 42 minit untuk melengkapkan jaringan hatrik pada perlawanan itu apabila menyudahkan sepakan penalti, menghadiahkan tiga mata buat penyandang juara Liga Super tersebut.
“Dia (Arif Aiman) bermain sangat luar biasa pada malam ini bukan sahaja kerana dia menjaringkan hatrik, malah bermain secara berpasukan selain turut membantu ketika bertahan.
“Saya gembira melihatnya bermain dengan sangat bagus, ini kerana saya tahu bagaimana dia bekerja keras setiap hari bagi meningkatkan mutu permainannya. Tidak dinafikan dia adalah pemain terbaik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Menurut pengendali kelahiran Argentina itu, bukan sahaja Arif Aiman malah keseluruhan pasukan juga melaksanakan tangggungjawab sebaik mungkin setelah melalui jadual perlawanan yang padat.
Jelasnya, kejayaan itu bukan mudah setelah pasukan lawan bermain sangat rendah dan kompak hingga menutup ruang buat pasukan untuk mencipta peluang gol pada babak pertama.
“Situasi sama turut berlaku di babak kedua, pergerakan menjadi agak terbatas dan menyukarkan gerakan gol dilakukan. Bagaimanapun, pemain sudah melakukan yang terbaik dan mengekalkan kelebihan jaringan hingga penamat.
“Memandangkan kita akan berdepan lawan yang sama selepas ini (aksi Piala Malaysia), ada beberapa aspek yang perlu ditambah baik termasuklah sentuhan penyudah. Setiap peluang itu perlu diterjemahkan sebaiknya, ini antara yang perlu kita perbaiki lagi,” ujarnya.
JDT akan bertandang ke Kuala Lumpur bagi aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat ini sebelum melayan kunjungan The City Boys bagi aksi kedua pada 21 Disember ini.- MalaysiaGazette