KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berterusan menghadapi pelbagai cabaran dalam usahanya mendapatkan beberapa dokumen penting bagi membela diri sekaligus membersihkan namanya daripada tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Lebih mengejutkan apabila Mahkamah Amerika Syarikat (AS) melalui Jabatan Kehakiman (DOJ) AS sendiri menyekat akses kepada bukti yang diminta oleh Najib sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keadilan serta ketelusan proses undang-undang.
Melahirkan kebimbangan itu, peguam utama mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya sudah memfailkan permohonan 1782 di New York sekitar 2021 lagi namun pelbagai sekatan dan ‘tangan ghaib’ berterusan menyekat pihaknya daripada mendapatkan dokumen serta bukti berkaitan 1MDB.
Untuk makluman, permohonan 1782 ialah mekanisme undang-undang yang membolehkan pihak-pihak mendapatkan bukti di AS untuk digunakan dalam prosiding undang-undang di luar negara.
Difahamkan Najib telah membuat permohonan itu selepas salah seorang yang berdepan tuduhan menyeleweng dana dan rasuah menggunakan dana 1MDB iaitu bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner membuat pengakuan di mahkamah AS bahawa dirinya terlibat dalam skandal itu.
Malah Leissner juga membuat pengakuan dirinya antara yang terlibat dalam menyogok pegawai kanan 1MDB dan penjawat awam dalam melakukan penyelewengan syarikat dana strategik negara.
Berikutan pengakuan itu, Najib membuat permohonan untuk mendapatkan dokumen serta bukti berkaitan maklumat diberikan oleh Leissner termasuk nama-nama yang telah diberikan sogokan itu.
“Anak guam saya tidak bersalah. Beliau bukan sahaja tidak terlibat sebaliknya dengan berani mahu dunia mengetahui bahawa dirinya tidak pernah disogok, dirasuah. Kerana itu juga permohonan itu dibuat bagi membersihkan namanya di mahkamah di sini.
“Pengakuan Leissner juga akan mendedahkan kebenaran mengenai amalan rasuah yang mempunyai implikasi besar terhadap pertuduhan yang dihadapinya di Malaysia lebih-lebih lagi apabila saksi-saksi digunakan pendakwaan terhadap Najib.
“Permohonan ini bertujuan untuk mengambil keterangan Leissner dan wakil Goldman Sachs serta mendapatkan bukti dokumentari yang berkaitan dengan dakwaan rasuah pegawai-pegawai 1MDB dan pegawai-pegawai kerajaan.
“Untuk makluman, pada awalnya, hakim yang mendengar permohonan ini telah meluluskan Najib untuk sepina, langkah penting mendapatkan bukti sehingga membebaskan anak guam saya daripada tuduhan-tuduhan ini,” katanya kepada media di lobi mahkamah di sini hari ini.
Bagaimanapun kata Muhamad Shafee, DOJ AS kemudian bertindak campur tangan dalam prosiding 1782 dengan meminta penangguhan iaitu untuk menghalang Goldman Sachs dan Tim Leissner daripada mematuhi sepina tersebut.
Peguam mewakili salah seorang pelaku yang mengaku salah Roger Ng, Marc Agnifilo kemudian menggambarkan tindakan DOJ ini seolah-olah mereka bertindak sebagai peguam kepada Goldman Sachs dan bukan sebagai pihak yang memperjuangkan keadilan dan kedaulatan undang-undang.
“Campur tangan ini menyebabkan Agnifilo membuat permohonan rasmi kepada hakim dalam kes jenayah Roger Ng untuk menarik balik perintah perlindungan yang akan membolehkan individu ini memberikan bukti yang boleh membebaskan Najib.
“Dalam permohonan itu, Agnifilio secara jelas menyatakan beliau secara etika dan moral berkewajiban untuk mendedahkan bukti penting yang boleh membantu pembelaan Najib di Malaysia namun DOJ membantah dengan alasan pendedahan bukti itu akan menjejaskan pendakwaan yang sedang berjalan.
“Malangnya, hakim yang mengendalikan kes Roger Ng akhirnya berpihak kepada DOJ dan tidak membenarkan pendedahan bukti yang boleh membebaskan tersebut, walaupun terdapat hujah etika dan moral daripada Agnifilo,” ujarnya.
Tambah Muhammad Shafee, halangan itu juga melahirkan kebimbangan yang serius mengenai keadilan dan ketelusan terutama apabila bukti yang disekat itu berpotensi untuk membersihkan nama Najib.
Tegas beliau, dengan menghalang akses kepada bukti penting, tindakan DOJ telah melemahkan prinsip proses keadilan dan hak kepada perbicaraan yang adil.
“Keadaan bertambah lebih rumit apabila hakim dalam prosiding 1782 kemudiannya meluluskan permohonan kerajaan untuk penangguhan yang secara efektif menghentikan keupayaan Najib untuk mengambil keterangan daripada wakil Goldman Sachs dan Tim Leissner atau mendapatkan bukti dokumentari.
“Keputusan ini menafikan akses kepada maklumat yang boleh menjelaskan identiti pegawai 1MDB dan pegawai kerajaan yang didakwa menerima rasuah serta mendedahkan skop penuh skim tersebut sekaligus menghalang Najib untuk terus dapatkan pembelaan dan keadilan buat dirinya di mahkamah Malaysia,” katanya lagi.
Muhammad Shafee bagaimanapun berkata, walaupun Najib berdepan pelbagai halangan yang tidak adil terutama daripada pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda politik dalam memastikan anak guamnya terus berdepan pertuduhan dan dijatuhi hukuman, beliau tidak akan sesekali berganjak.
“Bak kata anak guam saya tadi di mahkamah ketika prosiding bela diri, beliau bukanlah tidak waras untuk memohon untuk dokumen dan bukti seperti ini di AS andai kata bersalah.
“Malah untuknya berbelanja mendapatkan peguam dalam dan luar negara untuk perkara adalah tidak waras sama sekali jika beliau bersalah melakukan penyelewengan ini.
“Kes ini bukan hanya mengenai membela Najib tetapi menimbulkan isu yang lebih luas mengenai ketelusan, akauntabiliti dan politik proses undang-undang. Pengakuan Agnifilo mengenai kewajipan etikanya untuk berkongsi bukti yang boleh membebaskan menyoroti kepentingan sejagat keadilan dalam prosiding kehakiman.
“Penindasan bukti oleh DOJ ini bercanggah dengan prinsip-prinsip tersebut dan mencerminkan pendekatan yang membimbangkan terhadap keadilan. Namun komitmen teguh Najib untuk mendedahkan kebenaran dan memastikan keadilan tetap utuh,” tegasnya. – MalaysiaGazette