SUNGAI PETANI – Majlis Penyerahan Kunci bagi Fasa 3 dan Fasa 4 Projek Taman Universiti Bestari berlangsung meriah di sini baru-baru ini.
Acara itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ehsan Property Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid P.V Abdu.
Dalam ucapannya, Abdul Hamid menekankan dedikasi pihak Ehsan Property memastikan setiap projek yang diusahakan disiapkan mengikut jadual walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk kesan pasca-pandemik Covid-19.
“Kami di Ehsan Property sentiasa memberikan usaha dan komitmen 100 peratus untuk menyiapkan projek perumahan seperti janjikan.
“Walaupun berdepan cabaran besar pasca-pandemik, kami tetap mengutamakan kepuasan dan kepercayaan pembeli dengan memastikan rumah yang dibeli dapat diserahkan mengikut jadual,” ujarnya dalam ucapan perasmian.
Projek Taman Universiti Bestari merupakan sebuah pembangunan perumahan yang terdiri daripada rumah teres satu tingkat dan rumah Semi-D dengan keseluruhan projek dibahagikan kepada lapan fasa.
Setakat ini, Fasa 1 hingga Fasa 4 telah habis terjual.
Fasa 3 dan Fasa 4 terdiri daripada rumah teres satu tingkat dan Semi-D dengan reka bentuk moden menarik perhatian ramai pembeli kerana lokasinya yang strategik berdekatan AIMST University serta pelbagai kemudahan lain.
Abdul Hamid turut menyatakan pihaknya akan terus meningkatkan usaha dalam menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik bagi memenuhi keperluan keluarga muda dan pembeli rumah pertama.
Sementara itu, menurut salah seorang pembeli, Siti Mariam, beliau amat berpuas hati dengan rumah yang diterimanya.
“Saya amat bersyukur kerana akhirnya impian kami untuk memiliki rumah sendiri tercapai.
“Terima kasih kepada Ehsan Property kerana menepati janji mereka untuk menyerahkan rumah ini tepat pada waktunya,” katanya.
Majlis ini juga memberi peluang kepada pihak Ehsan Property untuk berinteraksi dengan pembeli, memperkukuh hubungan serta memberi jaminan terhadap perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti.
Dengan kejayaan itu, Ehsan Property terus komited untuk menerajui pembangunan hartanah berkualiti di kawasan Sungai Petani, memastikan setiap projek yang dibangunkan memenuhi keperluan dan harapan pembeli.
Projek Taman Universiti Bestari dengan kedudukannya yang strategik dan akses mudah kepada kemudahan seperti sekolah, institusi pengajian tinggi, hospital, dan pusat beli-belah.
Pembangunan dirancang untuk menyediakan persekitaran kehidupan yang selesa, selamat dan kondusif kepada penduduk. – MalaysiaGazette