CALIFORNIA – Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai baru-baru ini memaklumkan, enjin cariannya akan mampu menjawab soalan yang lebih rumit tidak lama lagi.
Katanya, idea itu adalah bagi memenuhi keperluan generasi baharu yang memerlukan enjin carian yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).
Menurut Sundar, enjin carian popular itu akan melalui perubahan besar pada 2025.
“Apabila saya melihat kepada cabaran yang mendatang, kami kini sedang dalam peringkat perubahan besar yang mana saya memikirkan banyak inovasi yang boleh dilakukan.
“Kami komited untuk berada di lapangan tercanggih ini,” katanya semasa berucap di Sidang Kemuncak DealBook yang dianjurkan New York Times.
Katanya, dalam apa jua situasi, Google tidak mempunyai pilihan selain beradaptasi bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dari segi kecekapan susulan banyak enjin carian alternatif telah mula muncul seperti Perplexity dan You.com.
Microsoft juga telah menambah baik Bing dengan mengintegrasikan ejen carian pintar Copilot melalui kerjasama dengan Open AI, syarikat yang memiliki ChatGPT.
Google juga sedang dicabar OpenAI yang mana aru-baru ini ia berintegrasi dengan carian web pintar baharu ke dalam ChatGPT. Ciri-ciri itu sekarang tersedia kepada pelanggan berbayar dan tidak lama lagi boleh diakses oleh semua orang.
Google baru-baru ini mengumumkan bahawa ia telah membuat lebih daripada 20 perubahan pada enjin carian, termasuk pengenalan format khusus untuk memaparkan secara percuma laman perbandingan dalam bidang seperti penerbangan, hotel, dan membeli-belah. – AFP