KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menggubal Akta Anti Penyeksaan baharu untuk mengharamkan perlakuan penyeksaan, penderaan seksual, rogol, perlakuan kejam tidak berperikemanusiaan serta merendahkan maruah seseorang.
Jurucakap keluarga mangsa yang mati dalam tahanan, Syed Mohd Sharif Syed Mohamed Nur berkata, bukan sahaja hukuman penjara maksimum 30 tahun bahkan sehingga seumur hidup harus dikenakan ke atas mereka jika disabit kesalahan.
“Akta-akta pencegahan di Kenya, Pakistan, Afrika Selatan, Uganda dan Filipina telah dirujuk dalam pencadangan Rang Undang-Undang Anti Penyeksaan oleh kami.
“Untuk menangani isu kematian dalam tahanan, kami berpendapat kerajaan Madani harus mereformasi institusi dan membina budaya baharu dalam kalangan pegawai-pegawai penguat kuasa.
“Ia bagi memastikan mereka mempunyai sikap akauntabiliti dan tanggungjawab sepenuhnya untuk melindungi hak asasi orang kena tahan, seperti mana dijamin Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Syed Mohd Sharif berkata, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) harus diberi tanggungjawab untuk mendidik, melatih dan memberi kesedaran kepada semua pegawai penguat kuasa.
“Langkah ini penting untuk membina budaya menghormati hak asasi manusia dalam kalangan pegawai polis, SPRM, Jabatan Imigresen dan penjara,” katanya.
Selain itu, katanya, pegawai penguat kuasa yang menyaksikan penyeksaan dikehendaki melaporkan kepada polis, Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) atau Suhakam.
“Kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan di bawah Akta Anti Penyeksaan baharu. Saksi yang mendedahkan perbuatan penyeksaan tersebut akan dapat perlindungan daripada perintah mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu satu tabung amanah perlindungan mangsa harus ditubuhkan dengan tujuan memberi pampasan, pemulihan dan kaunseling kepada keluarga-keluarga mangsa.
“Draf RUU ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada peguam-peguam dan aktivis NGO Hak Asasi Manusia.
“Selepas itu kami akan membentang RUU ini kepada kerajaan untuk pertimbangan,” katanya.
Katanya lagi, pihanya juga akan melancarkan jerayawar (road show) untuk mempopularkan RUU Akta Anti Penyeksaan di seluruh negara.
“Kami juga mengumumkan penubuhan Kumpulan Sokongan Keluarga untuk mangsa-mangsa kematian, penyeksaan, penderaan seksual di dalam tahanan.
“Kami menjemput semua mangsa dan keluarga mangsa menyertai kumpulan sokongan keluarga tersebut. NGO-NGO Hak Asasi Manusia juga dijemput menyertai sekretariat kumpulan ini,” katanya lagi – MalaysiaGazette