KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadual memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini pada Mei tahun depan bagi menjawab saman yang dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan isu `kutty’.
Timbalan Perdana Menteri dijangka memberi keterangan sebagai saksi defendan selama lima hari pada 14, 15, 20, 21 dan 22 Mei di hadapan Hakim Gan Techiong.
Mahkamah turut menetapkan 23 Januari bagi pengurusan kes.
Tarikh itu ditentukan selepas Dr. Mahathir selaku plaintif menutup kesnya setelah mengemukakan keterangan saksi kedua yang juga anaknya, Datuk Seri Mukhriz selaku saksi terakhir.
Terdahulu, Mukhriz berkata, kenyataan Ahmad Zahid yang menyentuh isu `kutty’ berunsur politik kerana ia memberi kesan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dr. Mahathir dalam keterangannya sebelum ini berkata, komen Ahmad Zahid menjatuhkan namanya sebagai pemimpin politik menyebabkan parti yang dipimpinnya mengalami kekalahan teruk pada PRU15.
Dalam keterangannya, Mukhriz, 60, turut merujuk hantaran dalam akaun Facebook miliknya yang memberikan kredit kepada individu bernama `Dtk Key Marzuki’.
Hantaran itu menyatakan `Iskandar Kutty’ yang dirujuk oleh Ahmad Zahid adalah datuk kepada Dr. Mahathir yang berasal dari Kerala, bukan ayah bapa beliau.
“Kerala pula bukanlah bangsa asal India tetapi berketurunan Yaman. Iskandar Kutty didatangkan oleh Syarikat Hindia Timor (British) untuk mengajar bahasa Inggeris di istana.
“Ayah kepada bapa saya iaitu Mohamad bin Iskandar merupakan Pengetua Pertama Kolej Sultan Abdul Hamid di Kedah dan berkahwin dengan Wan Tempawan binti Wan Hanafi dan akhirnya melahirkan Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang dikenali sebagai Che Det.
“Saya tidak tahu daripada mana timbul nama `kutty’ walhal dalam sijil kelahiran anak-anak, tiada tertera begitu,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Mukhriz menegaskan kenyataan Presiden UMNO itu berhubung salasilah bapa beliau adalah palsu dan berunsur fitnah kerana gagal menyertakan bukti sokongan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr. Mahathir, 99, mendakwa Ahmad Zahid, 71, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Dr. Mahathir percaya, individu yang dirujuk Presiden UMNO selaku defendan, dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.
Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.
Dr. Mahathir juga mendakwa, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui. – MalaysiaGazette