Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (tengah) pada sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) akan memberi taklimat berhubung isu kenaikan kadar premium insurans perubatan sehingga 70 peratus kepada semua Ahli Parlimen, esok.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini berkata, sesi taklimat yang akan diadakan secara tertutup bersama wakil BNM.

Taklimat itu antara lain bakal menyentuh isu-isu bagaimana proses kelulusan kadar premium insurans dilakukan.

“Apabila berlaku kenaikan harga (kadar premium insurans perubatan), mereka perlu kelulusan daripada BNM. Jadi kami nak tahu bagaimana mereka (BNM) beri kelulusan.

“Kami nak memahami apa kriteria kelulusan. Justeru, BNM akan memberi taklimat kepada kita (Ahli Parlimen) esok. Kita akan dapat maklumat yang lebih lanjut daripada mereka di Parlimen secara tertutup,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Tze Tzin berkata, bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada taklimat itu akan dihadiri Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Terdahulu, Tze Tzin membangkitkan isu berkait kenaikan premium insurans selepas pihaknya menerima desakan daripada rakyat supaya mengkaji kenaikan caj hospital swasta yang ‘melambung’ naik dan tidak munasabah.

Beliau menjelaskan, pihaknya memperoleh sebanyak 197 aduan daripada rakyat antaranya berkaitan caj hospital swasta yang tinggi.

Berdasarkan surat yang diterima, kenaikan kadar premium insurans perubatan seiring kenaikan inflasi kesihatan sebanyak 18 peratus selama tiga tahun berturun-turut.

Selain itu, katanya, maklum balas daripada beberapa pakar perubatan berpengalaman di hospital swasta berhubung punca yang mengakibatkan kenaikan caj hospital swasta.

Sehubungan itu, Tze Tzin menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan BNM menyiasat isu kenaikan kadar premium insurans perubatan dan caj hospital swasta dengan menubuhkan pasukan petugas bersama.

Beliau turut menggesa badan bebas seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjalankan prosiding dan pendengaran awam.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan pihaknya dalam proses rundingan dengan pihak berkaitan berhubung kenaikan premium insurans perubatan antara 40 peratus dan 70 peratus.

Pada 28 November lalu, BNM mengarahkan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.

Ia termasuk menguruskan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here