isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja perlu didakwa bahkan bekas Perdana Menteri itu perlu membayar ganti rugi kepada kerajaan kerana bertanggungjawab menyebabkan negara kehilangan Pulau Batu Puteh.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, Dr Mahathir wajar didenda sebagai ganti rugi kerana jika bersalah menggadai kedaulatan negara kepada Singapura.

“Sebab itu mendakwa Tun M amat penting. Semoga banyak misteri terbongkar. Tun M patut didenda jika bersalah. Denda itu sudah memadai sebagai ‘ganti rugi’ kerana menjual kedaulatan negara.

“Denda RM1,000 pun okay. Ia simbol pengajaran untuk anak cucu jangan memandai jual maruah negara kerana dendam politik,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebooknya hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Prosiding diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).

Tindakan berkenaan antara syor RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

RCI itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

RCI turut mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan dimulakan.

Dalam pada itu, Puad membidas kenyataan Datuk A. Kadir Jasin yang mengatakan Kerajaan Malaysia lebih afdal mendapatkan ganti rugi kerana kehilangan Batu Puteh dan tidak memadai mendakwa Dr Mahathir sahaja.

“Nak tanya Kadir Jasin, ganti rugi daripada siapa? Daripada Singapura? Malaysia tak pasal pasal membayar ganti rugi kepada Singapura kerana projek HSR dibatalkan oleh Tun M.

“Sebab itu Tun M mesti disiasat dan dikenakan tindakan. Apakah mungkin ada kaitan membatalkan semakan kehakiman Batu Puteh dengan setuju membatalkan projek HSR?” soalnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here