Fauziah Niordin ketika ditemui di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Adik kepada Jahidah Nordin, 46, yang dipukul suaminya ketika mengandung sehingga koma, menyifatkan kakaknya itu seperti mayat hidup kerana  hanya terlantar dan tidak dapat mengurus diri sendiri.

Fauziah, 43, berkata, keadaan kakaknya amat menyedihkan dan dia menguruskan keperluan harian termasuk mandi, makan, buang air besar dan air kecil serta rawatan susulan hospital atau klinik sejak Jahidah koma empat tahun lalu.

Selain itu Fauziah memberitahu, dia turut menguruskan anak tunggal kakaknya, Eshan Nufail, 3, yang kini berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana lambat bercakap dan lambat berjalan.

“Sejak hari pertama kakak terlantar di hospital, saya yang menjaganya sehingga hari ini. Dia tidak boleh bercakap, tidak boleh bergerak dan tidak memberi sebarang respons. Begitulah keadaan dia sejak empat tahun lalu.

“Semuanya saya uruskan, dia mengandung saya uruskan. Sehingga hari ini, anak dia status OKU. Perkembangan anak Jahidah lambat, walaupun dia sudah berusia tiga tahun. Sekarang baru boleh berjalan tetapi masih tidak boleh bercakap,” ujarnya.

Dia berkata demikian sambil tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika memberikan kenyataan impak mangsa dalam prosiding keputusan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Jelasnya, kakak sulung daripada tujuh beradik itu masih bergantung kepada susu khas dan mengguna lampin pakai buang setiap empat jam.

“Saya tidak dapat tahan sebak, semua hal-hal peribadi kakak, saya uruskan termasuk bank sehingga urusan fasakh.

“Anak kakak masih dalam perhatian pakar, kerana perkembanganya lambat,” katanya.

Sementara itu, Fauziah ketika ditemui di luar mahkamah berkata, keluarganya bersyukur dengan keputusan tersebut sekali gus menyifatkan Jahidah mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Dia berkata, keluarganya mahu membina hidup baharu selepas ini dan akan terus memandang ke hadapan.

“Alhamdulilah kes sudah selesai hari ini dan kami sebak sebenarnya sebab kami tunggu lama nak tahu keputusan. Syukur dapat keputusan hari ini.

“Penat lelah kami datang dari Sabah dan Seremban ke sini. Kira macam tiga, empat tahun penat lelah kita tunggu keputusan macam ni.

“Perancangan selepas ini akan jaga kak Jahidah, semoga cepat sembuh dan dapat besarkan anaknya dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Fauziah hadir seawal pukul 8 pagi di pekarangan mahkamah bagi mengikuti keputusan kes berkenaan.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara terhadap Rosmaini Abd Raof, 41, kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin@Sylvester, 46, sehingga koma, tiga tahun lalu.

Pada 3 November lalu, keputusan kes berkenaan ditangguhkan ke hari ini selepas tertuduh tidak hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke Hospital Pendang akibat sesak nafas.

Rosmaini, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, itu ketika pertuduhan dibacakan pada 17 Jun 2021.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri ketiga, Jahidah, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Kes Jahidah itu menggemparkan negara berikutan mangsa dilaporkan hamil.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, di Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan secara pembedahan pada 30 November 2021.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilaporkan membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.- MalaysiaGazette

Peniaga dipenjara 10 tahun pukul isteri sampai koma

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here