KUALA LUMPUR – Akibat jalan licin dan basah serta laluan menuruni bukit merupakan faktor nahas lima kenderaan, termasuk sebuah ambulans, di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih, Selangor, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan polis mendapati berlaku satu kemalangan berasingan di lokasi sama melibatkan sebuah kenderaan dan motosikal sebelum kejadian jam 9.30 pagi itu.
“Semasa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memberikan rawatan awal kepada penunggang motosikal yang terlibat kemalangan, datang sebuah van dari arah belakang melanggar ambulans yang sedang berhenti.
“Akibat pelanggaran itu, ambulans telah bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah kenderaan dan dua motosikal serta lima orang mangsa yang berada di hadapan ambulans,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, susulan itu kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kajang dan Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan.
“Kesemua yang terlibat adalah lapan orang dan mangsa kemalangan mengalami kecederaan serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” jelasnya,
Berikutan itu, Naazron menambah, kes terbabt disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah di talian 012-3268496.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati semasa memandu terutama ketika musim hujan dan keadaan permukaan jalan licin,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Wanita parah akibat tersepit dalam nahas 5 kenderaan di Kajang Perdana