Tommy Thomas Ganesan
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas agar seorang hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar kes saman Tan Sri Shahrir Ab. Samad terhadap beliau dan tiga yang lain, akan diputuskan pada 14 Januari tahun depan.

Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan peguam Alan Adrian Gomez mewakili Tommy serta peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir.

Tommy memfailkan permohonan itu pada 26 Ogos lalu agar Hakim Roz Mawar menarik diri selepas mendakwa beliau membuat dapatan tidak berasas serta bercanggah dengan tuntutan saman itu.

Bagaimanapun, Shahrir membantah permohonan tersebut atas alasan hakim berkenaan tidak wajar menarik diri hanya kerana Tommy tidak berpuas hati dengan alasan penghakimannya.

Pada 3 Julai lalu, Hakim Roz Mawar menolak permohonan Tommy untuk membatalkan saman itu dan kes ditetapkan bagi pendengaran penuh selama tujuh hari bermula 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Shahrir memfailkan saman tersebut pada Disember 2023 dengan menamakan Tommy, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya (ketika itu), SPRM dan kerajaan sebagai defendan.

Saman Shahrir adalah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima beliau daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Tommy yang menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020, dalam afidavitnya menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau kerana melakukan salah guna kuasa selain menyifatkan ia sebagai `tidak boleh dipertahankan’.

Beliau berkata, budi bicara sama ada untuk mendakwa hanya boleh dilaksanakan selepas Pendakwa Raya menerima kertas siasatan daripada agensi penyiasatan seperti SPRM.

Tommy berkata beliau meletak jawatan pada 28 Februari 2020 dan pada 26 Julai 2022, perbicaraan kes jenayah Shahrir bagi pertuduhan itu bermula.

Pada 5 Januari 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast