Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberikan tumpuan ke arah melahirkan penjaga berkemahiran melalui program latihan dan pembangunan kapasiti oleh Institut Sosial Malaysia (ISM).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, ISM merupakan institusi yang bertanggungjawab dalam melaksanakan latihan kepada penjaga menerusi piawaian modul latihan yang standard dan komprehensif.

“KPWKM berkeyakinan penuh bahawa melalui kerjasama dengan semua pihak dalam melaksanakan perancangan yang terkandung dalam Kerangka Strategik Industri Penjagaan di Malaysia 2026-2030, akan membuka satu lagi ruang dan peluang ekonomi dan pekerjaan baharu kepada rakyat dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan dan pembangunan negara,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta kementerian menyatakan perancangan mengintegrasikan ekonomi penjagaan dalam pembangunan nasional dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negara memandangkan potensinya membina satu pasaran bernilai sekitar USD25.5 bilion yang bukan sahaja mengiktiraf sumbangan wanita melalui tugasan penjagaan dan domestik tidak berbayar malah mencipta peluang pekerjaan baharu.

Terdahulu, Noraini berkata, KPWKM telah mengambil inisiatif yang tuntas dalam mengadakan makmal bagi membincangkan Kerangka Strategik Industri Penjagaan di Malaysia 2026-2030 pada 13 Mei dan berakhir pada 21 Jun lalu.

Katanya, Pembangunan Kerangka Strategik Industri Penjagaan di Malaysia 2026-2030 adalah kerjasama semua pihak merentasi kementerian, ahli akademik, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pemain industri dan juga individu yang mempunyai kemahiran berkaitan industri penjagaan menerusi pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara.

“Pembangunan Kerangka Strategik Industri Penjagaan di Malaysia 2026-2030 merupakan salah satu daripada usaha yang diambil oleh KPWKM untuk mengintegrasikan ekonomi penjagaan dalam pembangunan nasional.

“Industri penjagaan yang sedang dibangunkan di negara kita bukan sahaja menjurus kepada usaha meningkatan penyertaan wanita dalam pasaran buruh tetapi, turut melengkapi persiapan Malaysia yang bakal menjadi negara tua pada tahun 2030.

“…(dan) OKU (orang kelainan upaya) mempunyai akses kepada penjagaan yang diperlukan, kanak-kanak mendapat jagaan dan asuhan yang terbaik serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di negara ini secara holistik.

“Pada masa yang sama industri penjagaan ini juga menzahirkan kesepakatan yang telah dipersetujui bersama dalam menjayakan ASEAN Declaration on Strengthening the Care (Pengisytiharan Pengukuhan Penjagaan)  Economy and Fostering Resilience Towards the Post 2025 ASEAN Community (Ekonomi dan Memupuk Daya Tahan Ke Arah Komuniti ASEAN Pasca 2025),” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here