KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Pembaharuan Institusi), M Kulasegaran hari ini mempertahankan pelantikan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara yang baharu.
Beliau memaklumkan pelantikan itu adalah keputusan yang dibuat dengan teliti berdasarkan senioriti, pengalaman dan kepakaran undang-undang dimiliki oleh Mohd Dusuki.
Kulasegaran turut menepis kebimbangan pihak-pihak tertentu mengenai pemilihan Mohd Dusuki.
“Kerajaan telah membuat keputusan yang paling bijak dan terbaik berdasarkan senioriti. Beliau berpengalaman dan diiktiraf sebagai seorang peguam yang berkemampuan.
“Saya boleh katakan ini kerana saya telah berhadapan dengannya dalam banyak kes mahkamah dan beliau berada di atas segalanya. Jadi, terdapat kebebasan dan integriti dalam perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Kulasegaran berkata demikian menjawab soalan tambahan Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang meminta kerajaan menjelaskan komitmennya menggunakan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi pelantikan Peguam Negara pada masa depan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.
Abdul Ghani merujuk kepada kenyataan badan pemantau pilihan raya, BERSIH yang menyuarakan kebimbangan mengenai penglibatan terdahulu Mohd Dusuki dalam pendakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi sebelum ini.
Dalam kes itu, Ahmad Zahid telah dilepas tanpa dibebas daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Sebagai respons, Kulasegaran berkata, Mohd Dusuki bukan satu-satunya timbalan pendakwaraya yang terlibat dalam kes tersebut.
“Terdapat peguam-peguam lain (timbalan pendakwa raya) juga. Beliau adalah salah seorang daripada mereka,” ujarnya.
Beliau turut menyambut baik cadangan untuk melibatkan jawatankuasa pilihan dalam pelantikan Peguam Negara pada masa hadapan dengan menyifatkan ia sebagai idea yang baik untuk pertimbangan kerajaan.
Mohd Dusuki dilantik ke jawatan berkenaan selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette