Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi memberitahu tujuan utama kerajaan ingin meminda Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) adalah bagi menyediakan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna terutamanya kanak-kanak.

Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pindaan itu juga bagi memastikan negara ini bebas daripada ancaman siber seperti pedofilia, pornografi kanak-kanak, penyantunan seksual, penipuan dalam talian, buli siber, judi dalam talian dan sebagainya.

“Adalah dihasratkan supaya rangka perundangan yang lebih utuh ini dapat menangani penghijrahan jenayah konvensional ke dalam talian dan kita tidak lagi mahu melihat persekitaran dalam talian didominasi kandungan-kandungan yang memudaratkan dan bersifat jelik melampau yang jelas tidak selaras dengan jati diri dan tata susila rakyat Malaysia,” katanya dalam perbentangan RUU Komunikasi dan Multimedia (pindaan 2024) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Fahmi berkata, cadangan pindaan itu akan meliputi penambahbaikan kepada skop penggunaan Seksyen 233 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, bagi mengelakkannya disalah guna.

Beliau berkata, pindaan turut akan menyentuh aspek media sosial, pembangunan industri dan keselamatan rangkaian.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan, pindaan Akta 588 bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara malah membuktikan keterbukaan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjamin hak kebebasan bersuara.

Ia juga termasuk mengkritik kerajaan merupakan satu manifestasi komitmen kepada prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

“Kritikan yang diberikan harus bersifat membina, disertakan dengan data dan fakta bagi memenuhi semangat mencari serta menegakkan kebenaran dan tidak bersifat menghina, menghasut, provokatif, mencemarkan nama baik, mencerca agama dan kepercayaan serta menyebarkan fitnah.

“Hak kebebasan bersuara tidak akan ‘disekat’ sekiranya hak tersebut digunakan secara bertanggungjawab dan tidak melanggar peruntukan perundangan sedia ada termasuk mengambil kira sesuatu ekspresi atau perbuatan yang melampaui pertimbangan aspek moral, norma dan tatasusila budaya masyarakat Malaysia yang harmoni terhadap sesuatu kandungan dalam talian,” katanya lagi.

Untuk rekod, Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) pertama kali dicadangkan sejak ia dikuatkuasakan 26 tahun lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here