TANJUNG PELEPAS – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatat sejarah baharu dengan pelancaran sistem operasi terminal kontena Navis N4 4.0 oleh Kaleris.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, perkara itu hasil usaha sama antara Kumpulan MMC dan APM Terminals.
Peningkatan teknologi itu dijangka memperkukuh kecekapan dan produktiviti pelabuhan sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penghantaran utama di Malaysia.
“Langkah strategik ini bukan sahaja memastikan kelancaran operasi masa hadapan malah mencipta rekod sebagai pelaksanaan sistem N4 4.0 terbesar di dunia.
“Kejayaan ini dicapai tanpa sebarang gangguan terhadap perkhidmatan pelanggan, mencerminkan perancangan dan pengurusan yang teliti,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Che Khalib, sepanjang pelancaran, PTP memecahkan rekod dalaman dengan menggerakkan 48 kren dalam satu syif 12 jam dan ia merupakan sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Beliau berkata, ujian intensif terhadap sistem baharu itu membuktikan keberkesanannya menampung cabaran operasi sebenar.
“Pelaksanaan ini menunjukkan komitmen PTP terhadap kecemerlangan operasi dan transformasi digital. Sistem ini diuji dalam tekanan sebenar dan terbukti bersedia menghadapi masa depan. Ini adalah detik kebanggaan buat PTP,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman juga memuji usaha pasukan PTP yang bekerjasama rapat dengan Kaleris dan rakan usaha sama, APM Terminals.
Menurut beliau, proses peningkatan yang mengambil masa hanya dua setengah jam melibatkan 38 kren diaktifkan dalam tempoh lima jam tanpa sebarang isu besar.
“Teknologi terkini seperti pemesejan Kafka dan konfigurasi perisian yang lebih pantas menjadikan sistem lebih stabil dan cekap,” ujarnya.
PTP kini diiktiraf sebagai pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia menurut Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) 2023 dan dari segi jumlah throughput, pelabuhan ini menduduki tangga ke-15 global berdasarkan laporan Lloyd’s List.
Transformasi itu membuktikan komitmen PTP terhadap inovasi dan pembangunan mampan, memastikan ia terus menjadi peneraju dalam industri pelabuhan global. – MalaysiaGazette