PETALING JAYA – Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang pemberi maklumat antara 15 individu direkod keterangan berkaitan rakaman video yang mendakwa skandal rasuah melibatkan wakil rakyat di negeri itu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun sehingga kini pemberi maklumat enggan menyerahkan bukti kerana menuntut perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan.
Jelasnya beliau, agensi berkenaan tidak dapat memberi jaminan perlindungan selagi individu tersebut tidak mahu menyerahkan bukti yang dimilikinya.
“Kesemua individu berkenaan telah selesai direkodkan keterangan pada Sabtu lalu.
“Selain itu, SPRM juga menerima laporan berkaitan pemberi maklumat itu didakwa bersekongkol dengan seorang pegawai Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu penerokaan mineral,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian penutup Hari AntiRasuah Antarabangsa di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), di sini, hari ini.
Azam memberi jaminan siasatan berkaitan kes ini dijalankan secara adil dan profesional.
Media sebelum ini melaporkan seorang individu telah bertemu dengan pegawai SPRM pada 30 Oktober lalu berkaitan video tular dakwaan skandal rasuah.
Peguam kepada pemberi maklumat itu dilaporkan memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan beberapa orang sedang berbincang tentang sejumlah wang ketika pertemuan tersebut.
Azam sebelum ini meminta agar individu berkenaan membuat laporan rasmi dengan SPRM bagi memulakan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.-MalaysiaGazette