Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama ibu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz (kiri) dan bapanya Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff ketika hadir ke Mahkamah bagi Keputusan di akhir kes pembelaan ang menghadapi empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Rayuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan kes penyelewengan RM1 juta dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), akan didengar oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya selama dua hari berturut-turut bermula 19 Mac tahun depan.

Ahli Parlimen Muar itu merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta serta dua sebatan kerana bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mohd. Khairi Haron pada sesi pengurusan kes yang turut dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Syed Saddiq.

Mahkamah turut menetapkan 15 Januari untuk status rekod rayuan serta 4 Mac bagi pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

Sementara itu, Syed Saddiq dalam hantaran Instagram (IG) pada 29 November lalu mahukan rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan secepat mungkin.

Menerusi hantaran IG terbaru sebentar tadi, Ahli Parlimen Muar itu bersyukur kerana tarikh pendengaran rayuannya telah ditetapkan selepas menunggu lebih setahun dan berhasrat namanya dibersihkan.

“Dari hari pertama lagi, saya bertegas bahawa keadilan hanya dapat diperolehi melalui kehakiman, bukan melalui politik `cium tangan’ (membodek),” ujar beliau dalam hantaran tersebut.

Semakan terhadap laman web mahkamah menunjukkan pengurusan kes sepatutnya ditetapkan pada 16 Januari tahun depan, namun tarikh itu diawalkan hari ini.

Pengurusan kes sebelum ini ditetapkan beberapa kali sementara menunggu penghakiman bertulis disiapkan.

Semakan terhadap laman web mahkamah bagaimanapun menunjukkan alasan penghakiman bertarikh 28 November lalu dimuat naik, sehari selepasnya.

Alasan penghakiman itu dikeluarkan selepas setahun Mahkamah Tinggi mensabit dan menghukum Syed Saddiq atas kesalahan tersebut.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid dalam penghakiman setebal 22 muka surat itu antara lain menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya `tidak masuk akal’.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here