MELAKA – Seorang bapa tunggal tidak menyangka harapannya untuk menang kereta selepas kenderaannya tersadai akibat rosak sejak setahun lalu akhirnya menjadi kenyataan.
Ia selepas bapa kepada dua orang anak, Rosly Azil, 45, menang cabutan bertuah sebuah Perodua Axia pada Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, malam tadi.
“Dulu memang saya ada sebuah Perodua Kancil tapi kerap rosak sejak setahun lalu sampai tersadai kerana saya tak mampu lagi tanggung kos membaikinya.
“Anak perempuan saya berusia 15 tahun selalu berdoa dan mengharapkan saya dapat memiliki kereta baru dan tak sangka ia menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Hadiah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Rosly yang hampir tiga tahun bekerja di SWM Environment Sdn Bhd berkata, kereta itu akan digunakan untuk menghantar anaknya ke sekolah berbanding motosikal sebelum ini.
“Jadi anak tak perlu lagilah berhujan ke sekolah pada musim tengkujuh ini selain dapat juga gunakannya untuk melawat anak sulung yang kini tinggal bersama bekas isteri di Tanjung Bidara, Masjid Tanah.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang tidak melupakan tugas pekerja pembersihan seperti kami kami dan meraikannya dalam majlis sebegini,” katanya.
Pada majlis itu, Ab Rauf mengumumkan nama Rosly sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah yang turut dihadiri kira-kira 4,000 pekerja pembersihan daripada pelbagai agensi di Melaka. – MalaysiaGazette