KUALA LUMPUR – Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengarahkan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) keluar dan menggantungnya daripada mengikuti persidangan selama 10 hari minggu lepas menjadi perdebatan hangat hari ini.
Lebih setengah jam isu itu dibangkitkan dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) merujukk buku peraturan-peraturan mesyuarat bagi memperjelas panduan kepada seluruh anggota dewan termasuk speaker yang hanya boleh diguna pakai di dalam Dewan Rakyat.
Beliau memberitahu, peraturan tidak boleh mengheret mana-mana ahli dewan untuk dikenakan tindakan hanya kerana membuat kenyataan di luar seperti dilakukan oleh Johari terhadap Awang Hashim.
Takiyuddin turut mengambil beberapa contoh melibatkan ahli-ahli Parlimen pembangkang ketika pemerintahan kerajaan terdahulu yang mana speaker tidak bertindak mengunakan peraturan mesyuarat kerana insiden berlaku adalah di luar dewan.
“Itu adalah tertib di dalam dewan dan bukannya tertib di luar dewan dan sebagainya. Jadi, saya berpandangan keputusan yang dibuat oleh Yang Berhormat (Speaker) adalah tidak mengikut peraturan dan ianya adalah satu perkara yang bagi saya sesatu yang unconstitutional (tidak berperlembagaan),” katanya.
Takiyudin turut membawa beberapa perkara melibatkan ahli-ahli Parlimen pembangkang sebelum ini yang mana kes mereka diputuskan oleh mahkamah.
Johari yang mengendalikan sidang pada sesi pagi kemudiannya memberikan laluan kepada beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan untuk mengemukakan pandangan berhubung perkara tersebut.
Antara yang membangkitkan perkara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran); Datuk Che Mohamad Zulkefly Jusoh (PN-Besut); Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Semporna).
Pihak kerajaan yang membela tindakan Johari itu iaitu Sim Sze Tzin (PH-Bayan Baru); Lee Chuan How (Ipoh Timur) dan Syahredzan Johan (PH-Bangi).
Selepas kedua-dua pihak memberikan pandangan, Johari kemudian membuat keputusan berhubung tindakannya terhadap Awang.
“Saya sudah dengar semua ini, pandangan saya dan keputusan saya seperti hari pertama saya berada di sini, saya ahli politik dan bila saya duduk sini saya perlu ketepikan perbezaan politik, maknanya saya tidak main politik.
“Semua dalam dewan ini kawan-kawan saya…namun begitu saya juga mesti ada pegangan. Sebab itu bila seorang ahli dewan menghina saya, di luar dewan hari itu yang kena eject (singkir) yang eject bukan saya, tapi timbalan saya.
“Bila dia kena (Awang) pemberita tanya, dia kata inilah speaker zalim, saya dengar dalam televisyen apa hal?” soalnya.
Johari turut memberitahu beliau ada merujuk hansard dewan dan turut meminta agar Awang memohon maaf diatas perlakuannya itu tetapi tidak diendahkah oleh wakil rakyat Pas itu.
“Sebab itu saya kata apa juga kami kata hari ini, jangan hina speaker, Johari Abdul beza, di luar dia tak hensem, ubi kayu, dia tak habis belajar ke apa saya tak kisah kalau isu melibatkan Johari Abdul.
“Tapi, bila saya duduk di sini saya duduk sebagai speaker dan saya akan pertahan dewan. Ini sumpah saya,” katanya. – MalaysiaGazette