Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki hadir pada penutupan Program Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Petaling Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 9 DISEMBER 2024.

PETALING JAYA – Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan  terhadap Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) masih berjalan.

Katanya, kenyataan terkini daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melibatkan keterangan seorang pegawai penyiasat agensi siasatan itu mungkin hanya merujuk satu fail sahaja.

“Saya tidak tahu angle apa yang dimaksudkan oleh pegawai yang mengatakan siasatan HRD Corp selesai, sebenarnya kami membuka beberapa fail siasatan berkaitan HRD Corp, semua siasatan masih berjalan.

“Dan saya sudah arahkan pegawai saya untuk maklumkan kepada PAC bahawa mungkin apa yang dimaksudkan oleh seorang pegawai itu mengenai satu fail,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan melibatkan beberapa aspek termasuk berkaitan urus tadbir dan pelaburan yang dilakukan HRD Corp.

PAC hari ini dilaporkan berkata, tiada kesalahan dikesan dalam isu tadbir urus HRD Corp.

Dalam laporan prosiding mengenai tindakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada 20 November lalu, pegawai siasatan SPRM Mohd Fuad Sedet memberitahu Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin siasatan badan itu mendapati tiada kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Turut dilaporkan, seorang pegawai SPRM, Zulhairy Zaidel memberitahu, pihaknya telah membuka tiga kertas penyiasatan tata kelola bagi tiga isu berlainan.

Untuk rekod, SPRM melakukan siasatan terhadap HRD Corp susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 susulan keputusan diambil didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat pada Julai lalu.

PAC turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Susulan itu juga SPRM telah mengambil dokumen dari pejabat HRD Corp di Kuala Lumpur dan KESUMA di sini mendapatkan dokumen diperlukan untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM dapati tiada kesalahan dalam isu tadbir urus HRD Corp – Laporan PAC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here