Salah seorang penduduk Kampung Seri Damai di Kuantan mengharung air di laluan masuk ke rumahnya hari ini.

KUANTAN –”Sepanjang saya duduk sini selama 39 tahun sejak 1985 cuma tiga kali tidak merasa banjir. Jadi keluarga kami sentiasa siap sedia dengan memiliki bot sendiri.

”Maksudnya tahun ini sudah lima kali wakil rayat bertukar, saya masih mengalami banjir, kejadian terburuk pada tahun 2021, air naik setinggi 2.13 meter (m) atau tujuh kaki,” kata penduduk Kampung Seri Damai, Samsudin Abd Shukor.

Warga emas berusia 72 tahun itu juga berkongsi pengalaman menghadapi 36 kali banjir dalam tempoh 39 tahun yang mendiami rumahnya.

Samsudin berkata, rumah yang diaminya dinaiki air setiap kali musim tengkujuh akibat limpahan Sungai Belat yang terletak betul-betul di belakang rumahnya.

Samsudin Abd Shukor

Malah, katanya, pengalaman banjir besar sehingga air naik setinggi tujuh kaki dan sampai sekarang masih meninggalkan kesan di dinding rumah papan miliknya.

”Setiap kali air naik memang akan berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir (PPS) dan merasa duduk dua PPS di kawasan ini. 15 kali di PPS dewan baru dan selebihnya di balai raya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membuat tinjauan perkembangan banjir di kawasan itu hari ini.

Tinjauan mendapati paras air sungai semakin meningkat kelihatan deras setelah hujan turun tidak berhenti sejak semalam di beberapa kawasan di Kuantan.

Mohamad Amerudin Mat Esa

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Damai, Mohamad Amerudin Mat Esa pula berkata, pihaknya telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

”Kita buat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan penduduk dapat dipindahkan segera. Jika hujan lebat, saya akan mengarahkan ahli jawatankuasa untuk memastikan telefon mereka sentiasa aktif bagi memastikan gerak kerja bantuan dapat diatur segera bagi membantu penduduk kampung,” katanya.

Nurul Hani Md Johari

Manakala bagi  Nurul Hani Mat Johari, 44,  pengalaman mengharungi banjir setinggi 12 kaki masih dalam ingatan sejak mendiami kawasan itu pada tahun 2008.

“Mula menjadi bila pindah ke (rumah) tanah sendiri, setiap tahun mesti banjir. Bezanya cuma paras air, sama ada tinggi atau rendah, biasa rumah kami terawal kena banjir.

”Jadi, kami memang siap sedia dengan para tinggi untuk menyimpan barang, dokumen penting semua sudah siap disimpan dan digantung.

“Tahun ini nampaknya keadaan pun teruk, jadi kami lebih bersedia dengan memastikan kenderaan dipindahkan ke tempat tinggi,” katanya.

Mohd Fauzi Wahab

Bagi Mohd Fauzi Wahab, 51, pula mengaku fenomena banjir di kawasan kelahirannya itu tidak asing baginya.

Malah beliau selalu mengambil kesempatan dengan menangkap ikan ketika musim tengkujuh apabila melihat paras air semakin meningkat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast