Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

TEMERLOH – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya kerajaan Pahang dan rakyat negeri ini bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, berikutan ramalan hujan secara berterusan hingga 11 Dis ini.

Baginda bertitah, semua pihak perlu berhati-hati dan cakna dengan persekitaran khususnya mereka yang tinggal berdekatan sungai dan tali air memandangkan kawasan itu berisiko banjir.

“Saya dimaklumkan, berdasarkan ramalan cuaca, hujan mungkin berterusan minggu ini.

“Justeru, kita perlu sama-sama berdoa agar cuaca bertambah baik dan musibah banjir tidak berlaku dengan teruk,” titah baginda selepas berangkat ke Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’Rasa) Daerah Temerloh di Kampung Lada di sini hari ini.

Baginda bertitah, selain harta benda, perkara paling diutamakan ketika bencana adalah keselamatan nyawa.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat tahap buruk dan waspada di tujuh negeri termasuk di Pantai Timur yang dijangka berlaku hingga Rabu ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan keadaan cuaca itu dijangka melanda lima daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran dan Rompin selain Kemaman dan Dungun di Terengganu.

Seluruh Kelantan dan Perlis pula diramal mengalami hujan berterusan tahap waspada dalam tempoh masa sama, selain di Hulu Perak, Perak dan Kedah melibatkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Turut dijangka mengalami cuaca itu ialah Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang) serta Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi).

Mengenai majlis hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah sebanyak 790 unit rumah Ru’Rasa meliputi fasa satu, dua dan tiga dibina bagi membantu golongan miskin di negeri itu.

“Bagi fasa dua, difahamkan, ia melibatkan pembinaan 260 unit rumah dan setakat ini, dua buah rumah telah siap untuk dihuni di sini (Temerloh).

“Pembinaan rumah dengan kerjasama Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas dasar persaudaraan ini, dijangka akan berterusan dalam usaha membantu golongan memerlukan di Pahang,” titah baginda.

Seorang penerima rumah berkenaan Suzaini Bachik, 48, berkata dia amat terharu dan gembira kerana terpilih untuk menghuni kediaman itu.

Suri rumah ini berkata dia tidak memiliki pendapatan tetap untuk membina rumah baharu selepas kediamannya musnah dilanda ribut pada 25 Mei tahun lepas.

“Saya rasa sangat bangga dan bertuah apabila menerima kurniaan daripada tuanku. Penantian selama 27 tahun untuk memiliki rumah sendiri amat bermakna kerana ia atas nama saya sendiri,” kata ibu tunggal kepada lima orang anak ini. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here