PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan bagi pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan titah addendum.
Jabatan Peguam Negara berkata, tarikh itu juga untuk Najib mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum itu.
“Sehubungan itu, semua pihak dipohon untuk menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis.
“Ini berikutan rayuan dan notis usul berkenaan masih belum diputuskan oleh mahkamah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Najib sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan titah addendum tersebut.
Mahkamah memutuskan empat afidavit bagi menyokong permohonannya, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Najib memohon perintah mandamus bagi memaksa, sama ada semua atau satu daripada responden, menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Januari 2024.
Ia dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah. – MalaysiaGazette