IPOH – Setakat ini tiada perkembangan baharu dilaporkan dalam usaha mencari anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang hilang selepas dihanyutkan arus deras, ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum, pada 30 November lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata, usaha mencari Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi, dari Rejimen Komando ke-22 di Kem Iskandar di Mersing, Johor sedang giat dijalankan di sekitar lokasi kejadian di Sungai Merah dan di sepanjang Sungai Perak.
“Anggota polis dan tentera meneruskan usaha mencari, dan pada ketika ini, kami belum berbincang untuk menghentikan operasi itu, walaupun ia mempunyai tempoh masa yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Pada 3 Disember 2024, TDM mengesahkan kehilangan dua anggota semasa rondaan dalam Operasi Kota Gema/Foxtrot Siri 6/2024, yang berlangsung sekitar jam 8 pagi.
Sementara tujuh lagi anggota unit itu ditemui selamat pada 12.30 tengah hari pada hari yang sama, Ahmad Zulhilmi dan Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin, daripada Rejimen Komando ke-21 di Kem Sungai Udang, Melaka, hilang.
Bagaimanapun, mayat Mohd Afandi, dari Matu, Sarawak, ditemui pada 1 Disember lalu.
Zulkifli menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
“Saya menyeru semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk meneruskan operasi mencari, dan kami tetap berharap individu yang hilang itu dapat ditemui secepat mungkin,” katanya. – BERNAMA