TANGKAK – Menjadikan rumah kedai dan dua stor dalam kawasan kebun di Sagil di sini sebagai tempat penyimpanan arak tiruan dan rokok tidak bercukai.
Bagaimanapun kegiatan tersebut terbongkar selepas 17 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak melakukan serbuan di tiga premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, serbuan tersebut dilakukan pada pukul 1.24 pagi semalam selepas mendapat maklumat.
“Serbuan dilakukan di sebuah rumah kedai dan dua stor terbabit. Hasil serbuan berjaya menangkap dua suspek lelaki warga Myanmar berusia 30 dan 31 tahun.
“Mereka dipercayai terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan dan memproses arak tiruan serta rokok disyaki tanpa cukai,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Tangkak di sini hari ini.
Katanya, menerusi serbuan pertama pihak polis merampas satu mesin sealing penutup botol, tujuh tong biru berisi pati arak, 23 kotak arak pelabgai jenama mengandungi 322 botol arak pelbagai saiz.
Beliau berkata, serbuan kedua merampas 37 kotak arak pelbagai jenis jenama (mengandungi 1,372 botol arak pelbagai saiz) dan enam peti rokok Gudang Garam Suria (mengandungi 480 karton rokok).
Selain itu katanya, turut dirampas empat peti rokok jenama John White (mengandungi 200 karton rokok), satu peti rokok jenama Class Mild (mengandungi 10 karton rokok), 10 kotak rokok jenama Boston Red (mengandungi 490 karton rokok) dan 31 karton rokok jenama John D-Blend.
Sementara serbuan ketiga, beliau memberitahu, sebanyak 40 kotak arak pelbagai jenama (mengandungi 1,167 botol arak pelbagai saiz) dirampas.
Menurutnya, jumlah rampasan rokok RM11,220 dan jumlah rampasan arak RM101,264 manakala jumlah keseluruhan rampasan RM112,484.
“Siasatan dilakukan bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda barang kes atau RM500,000 atau penjara, minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Selain itu kata Roslan, turut disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh dikenakan enam kali sebatan.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah untuk menyalurkan menerusi talian hotline IPD Tangkak 06-9785222.- MalaysiaGazette