KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengesahkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai setiausaha agungnya.
Manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Ketua Penerangan.
Pelantikan itu diumumkan dalam mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri oleh semua presiden parti komponen iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Dr Dominic Lau.
Mesyuarat itu turut mengesahkan pelantikan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin sebagai Ketua Wanita Perikatan Nasional.
Azmin dalam kenyataannya berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menamakan tiga orang pemimpinnya untuk menganggotai Majlis Tertinggi PN selaras dengan keputusan pemilihan Bersatu baru-baru ini.
Mereka ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Timbalan Pengerusi PN manakala Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Anggota Majlis Tertinggi PN.
Katanya, mesyuarat MT PN juga membincangkan dan mengambil maklum perkembangan politik semasa di Sabah dan mengambil ketetapan PN akan menyertai Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan selewat-lewatnya November 2025.
PN Sabah diberikan tanggungjawab untuk membuat persiapan dan perbincangan dalam merangka strategi untuk membentuk kerajaan baharu di negeri itu.
Tambahnya, MT PN juga menerima penubuhan Jabatan Dasar dan Strategi yang berperanan dalam semua isu-isu strategik dan pelan tindakan strategik serta bertanggungjawab kepada kaji selidik berkaitan isu semasa negara.
Dalam pada itu, Azmin berkata PN juga komited untuk terus berada di lapangan bagi membantu mangsa banjir termasuk kerja-kerja pembersihan pascabanjir.- MalaysiaGazette