Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan beliau bertindak secara unilateral dalam membuat keputusan untuk tidak memfailkan permohonan semakan dan tafsiran terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 mengenai tuntutan wilayah Batu Puteh.

Tegasnya, keputusan tersebut dibuat oleh Kabinet dan meminta pihak yang tidak percaya dengan kenyataan beliau untuk merujuk cabutan minit mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Mei 2018.

”Saya juga ingin bertanya, pada masa keputusan ini dibuat mengapa Mohamad bin Sabu, Anthony Loke, Gobind Singh dan Dr. Dzulkefly bin Ahmad tidak berkata apa-apa? Atau adakah mereka bersetuju seperti mereka bersetuju Kabinet Anwar Ibrahim teruskan dengan RCI dan bentang di Parlimen Laporan RCI ini?

”Perdana Menteri baru-baru ini menyatakan isu ini adalah pengkhianatan. Kalau begitu mulai Mei 2018 hingga Februari 2020 tidakkah Wan Azizah bercakap mengenai “Pengkhianatan” ini? Bukankah Wan Azizah TPM pada saya dan isteri perdana menteri sekarang?,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Batu Puteh: Pengkhianatan besar, setiap inci tanah patut perjuangkan habis-habisan – PM

Menurut Dr. Mahathir, beliau hanya memberi pendapat selepas mendengar dan membaca pandangan daripada pakar undang-undang dalam dan luar negara serta meneliti dokumen-dokumen yang berkaitan dengan perkara tersebut.

Tambahnya, Pulau Batu Puteh telah lama hilang dan perkara itu disahkan oleh 12 Hakim Mahkamah Antarabangsa, antara lain merujuk kepada surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor kepada Setiausaha Kolonial di Singapura pada 21 September 1953.

Dengan itu, beliau berhasrat untuk memberi tumpuan kepada Batuan Tengah (Middle Rock) yang mana keputusan ICJ pada 2008 telah memihak kepada Malaysia.

”Saya juga dapati kalau kita silap langkah teruskan dengan permohonan Semakan dan Tafsiran, ia ada kemungkinan mudaratkan kepentingan Malaysia. Ini risiko yang kita tidak harus ambil.

”Pada 21.5.2018 saya menulis pendapat kepada Peguamcara Negara untuk tidak teruskan usaha Semakan dan Tafsiran.

”Saya juga ingin Malaysia merancang untuk tebus guna lautan disekeliling Middle Rock yang dimiliki Malaysia,” katanya.

Tambahnya, Malaysia telah membuktikan keupayaan untuk memajukan sebuah pulau yang terdiri daripada batu kecil menjadi pusat pelancongan terkenal.

Katanya, Pulau Layang-Layang di Sabah telah berjaya dimajukan dan diperluas sehingga mampu memiliki landasan pendek untuk kapal terbang kecil mendarat serta dilengkapi hotel dan kedai-kedai yang menjadi tumpuan pelancong terutamanya penyelam.

Ujar beliau, Pulau Layang-Layang menjadi penyumbang kepada ekonomi negara dan dalam masa sama Malaysia tidak hilang seinci pun tanah tersebut malah ia ditambah sehingga 35 hektar di samping dapat memperkukuhkan kedaulatan negara.

Pulau itu sekarang berkeluasan 7.5 km panjang dan 2.2 km lebar.

Tegas Dr. Mahathir, beliau tidak sama sekali menipu dan menggadaikan kedaulatan Malaysia.

Tambahnya lagi, semua keputusan yang dibuat adalah demi kepentingan negara, bangsa dan agama.

“Adakah saya lakukan apa-apa perkara mengenai Pulau Batu Puteh secara sembunyi atau terang-terang? Kalau semua dalam mesyuarat bersetuju, adakah kami semua pengkhianat?

“Malaysia mesti dilihat sebagai berpegang pada janji. Kita memasuki perjanjian dengan Singapura untuk terima apa-apa keputusan ICJ. Adakah salah kita berpegang pada janji?” katanya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati Dr. Mahathir mungkin telah bertindak secara unilateral dalam membuat keputusan untuk tidak memfailkan permohonan semakan dan tafsiran terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 2008 mengenai tuntutan wilayah Batu Puteh, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Laporan RCI  itu dibentangkan di Dewan Rakyat Khamis lalu. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

RCI Batu Puteh cadang siasatan jenayah terhadap Tun Mahathir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Haa..tak payah belit laa..kamu telah buat keputusan san maklumkan kpd Singapura sejurus sebelum mesyuarat kabinet. Yg ke 2 tak payah tipu laa…bukan semua 12 hakim ICJ bersetuju…tak sebulat suara pun..dan yg ke-3…penasihar undang2 mana yg kamu rujuk tu? penasihat undang2 tak pernah bg taklimat kpd Kabinet pun! jelas kamu pembelit dan sebenarnya buat keputusan sorang2

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here