MELAKA – Tiada sebarang kesan penderaan atau unsur-unsur jenayah pada bayi lelaki berusia enam bulan yang meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam selimut di rumah pengasuhnya di Merlimau, Jasin di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi berkata, pemeriksaan awal pada fizikal bayi berusia enam bulan itu tidak menemukan sebarang perbuatan jenayah.
“Setakat ini hanya maklumat itu boleh dikongsikan manakala punca kematian masih dalam siasatan kerana keputusan laporan bedah siasat masih belum diperolehi.
“Sebarang permohonan reman (terhadap pengasuh) adalah bergantung kepada laporan kimia dan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu disedari pengasuh wanita berusia 27 tahun apabila mendapati bayi berkenaan, Harraz Noah Nazrul Nizam, 6 bulan, dalam keadaan terlentang dengan sehelai selimut menutupi mukanya.
Bapanya, Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29 berkata, dia dihubungi isterinya Ainol Izzah Raslan 25, kira-kira pukul 11.40 pagi dalam keadaan menangis teresak-esak memaklumkan pengasuh menelefonnya memaklumkan anak tunggalnya itu tidak sedarkan diri.
Ibunya kemudian membawa bayinya itu Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan doktor memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia.
Sementara itu Nazrul Nizam ketika dihubungi MalaysiaGazette memaklumkan doktor tidak mengesan sebarang kesan penderaan pada fizikal bayinya itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN