BUKIT MERTAJAM – Bayi lelaki lahir pramatang yang kini berusia dua bulan, memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM90,000 bagi menjalani pembedahan jantung kongenital.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Muhammad Ammar Arfan Mohd Faiz Fakrumie lahir dengan berat 1.7 kilogram (kg) menerusi kaedah pembedahan caesarean terpaksa ditempatkan di dalam inkubator dan bergantung alat bantuan oksigen sebelum dia mengalami sinosis atau badan kebiruan semasa berusia sebulan.
“Selepas pemeriksaan terperinci, dia didiagnos dengan masalah jantung jarang berlaku dikenali sebagai ‘total anomalous pulmonary venous drainage’ (TAPVD).
“Jika pembedahan tidak dibuat pada masa terdekat, bayi itu tidak akan dapat bertahan dan boleh meragut nyawanya.
“Sepatutnya pembedahan perlu dibuat semasa beratnya 3.5 kg namun disebabkan keadaan semakin teruk dan mendesak dia akan menjalani pembedahan segera di sebuah hospital biarpun hanya dengan berat kini 2.5 kg,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Tambah beliau, keluarga Muhammad Ammar Arfan amat berharap orang ramai dapat menyumbangkan dana berjumlah RM90,000 agar pembedahan itu dapat direalisasikan dengan segera.
“Keluarganya telah tampil ke pejabat One Hope Charity & Welfare bagi memohon bantuan dana dan kita telah luluskan untuk membantu mereka.
“Bapa bayi itu merupakan seorang juruteknik gentian optik manakala ibunya, seorang suri rumah.
“Pasangan itu juga mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia tiga tahun,” katanya.
Sehubungan itu. orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau layari onehopecharity.org. – MalaysiaGazette