KUALA LUMPUR -Kerajaan sedang menyelaraskan kaedah supaya kenaikan premium bayaran insuran munasabah dan tidak membebankan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berkerjasama bagi mengeluarkan panduan tegas agar syarikat insuran dan pengendali takaful di negara ini mengambil kira beberapa pendekatan sebelum membuat keputusan menaikkan kadar bayaran itu.
“Kenaikan ini adalah bersandarkan kepada penanda aras yang lebih rendah di Malaysia dan kos perubatan dan perkhidmatan yang tinggi, itu penjelasan pihak insurans.
“Walau bagaimanapun, pihak KKM dan BNM sedang menyelaraskan supaya kenaikan itu boleh dianggap munasabah dan tidak membebankan,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), hari ini.
Anwar menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 peratus hingga 70 peratus dan inflasi kos perubatan negara sebanyak 12.6 peratus tahun 2023, lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6 peratus.
Dalam pada itu, Anwar berkata, bagi menangani isu monopoli dalam perolehan ubat-ubatan negara, kerajaan akan membatalkan komitmen beberapa syarikat untuk memastikan perolehan ubat-ubatan terkawal.
Beliau turut berkata, KKM juga digesa untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan dari Brazil, India dan China, bagi mengelakkan kebergantungan sepenuhnya terhadap pasaran tertentu sahaja.
“Kita tahu bahawa alasan kos perubatan, sekarang tidak ada kawalan malah pembelian ubat dibuat secara monopoli jadi sebab itu kita akan batalkan komitmen kepada satu dua syarikat dan minta KKM menjelajah ke beberapa negara supaya dapat ubat generik yang lebih murah dan berpatutan.
“Ubat ini lebih terkenal di Brazil, India, China yang dikaji dan tidak semestinya terikat dari Amerika Syarikat dan Eropah yang kosnya terlalu tinggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette