Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dirinya pernah meragui Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi yang memberikan sumbangan berbentuk wang kepadanya melalui Tanore Corporation.

Mantan Ahli Parlimen Pekan mendedahkan, dirinya sudah dimaklumkan Tanore Finance Corporation itu adalah sebuah entiti berkaitan Arab Saudi.

Perkara itu dakwa Najib telah dimaklumkan kepadanya menerusi surat dari Arab Saudi bahawa sumbangan Raja Abdullah itu akan disalurkan melalui Tanore Corporation.

Najib ketika membela diri dari kandang saksi pada prosiding penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion itu berkata, dirinya bergantung kepada sistem dan kawalan bank pusat serta bank akaun peribadi miliknya.

Bagaimanapun, hujah Najib, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak pernah memberikan sebarang amaran kepadanya pada bila-bila masa berkaitan dana tersebut.

“Almarhum Raja Abdullah sememangnya terkenal sebagai seorang dermawan. Bukan sahaja saya sebaliknya satu dunia juga tahu tentang sıfat itu yang bukan sahaja terkenal dengan pemberian sumbangan sebaliknya juga hadiah.

“Malah orang-orang Arab itu sendiri sangat pemurah apa lagi raja mereka.

“Saya tidak pernah meragui sebarang keaslian sumbangan baginda yang masuk melalui Tanore Corporation yang pada pengetahuan saya adalah entiti di Arab Saudi.

“Saya bergantung pada bank pusat atau AmIslamic Bank tapi mereka tidak pernah beri apa-apa amaran tentang mungkin wujudnya unsur mencurigakan dalam pemindahan wang masuk ke akaun peribadi saya,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib juga memberi beberapa contoh bagaimana negara luar juga menerima sumbangan berbentuk wang daripada Raja Arab sebelum ini.

Antaranya, Raja Juan Carlos dari Sepanyol menerima sumbangan sebanyak AS$100 juta daripada Almarhum Raja Abdullah pada 2008 melalui Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Dakwa Najib, adalah tidak pelik atau luar biasa untuk diberikan wang sebanyak itu oleh Raja Abdullah.

“Tidak silap, pihak berkuasa Switzerland pernah menyiasat pemindahan tersebut sekitar 2008 namun pada 2012, pihak berkuasa mendapati tidak ada transaksi bersifat rasuah dalam pemberian sumbangan itu,” ujarnya.

Prosiding sedang bersambung ketika ini.

Najib sedang membela dirinya dalam perbicaraan terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here