KUALA LUMPUR – Kegiatan ibu bersama anak perempuannya mencuri produk kosmetik di premis kesihatan dan kecantikan di Bukit Puchong, di sini, memakan diri apabila mereka dicekup polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang juga pengurus premis berhubung kejadian itu pada jam 6.38 petang, Sabtu lalu.
Katanya, pengadu memaklumkan sebanyak lima barangan kosmetik yang diletakkan di atas rak telah hilang dipercayai dicuri dengan jumlah kerugian RM420.
“Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian itu berlaku sekitar jam 6 petang pada 7 Disember yang mana dua suspek warga tempatan datang ke premis menyamar sebagai pelanggan.
“Suspek berjalan-jalan di dalam kedai sambil melihat barangan di rak pameran, kemudian mereka membuka kotak di rak itu lalu meletakkan di dalam beg kitar semula.
“Kotak kosong itu kemudian diletakkan semula di atas rak dan suspek telah keluar dari kedai tanpa membuat sebarang bayaran di kaunter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, bertindak atas laporan sepasukan polis menahan dua beranak berusia 38 tahun dan 16 tahun di kawasan Petaling Jaya jam 1 pagi tadi.
“Polis turut merampas lima barangan yang dicuri suspek dan semakan lanjut mendapati, suspek wanita tidak bekerja dan anaknya pula masih bersekolah.
“Pemeriksaan mendapati, suspek wanita mempunyai lapan rekod jenayah dan narkotik dan si ibu adalah positif dadah manakala anaknya, tiada sebarang rekod jenayah,” jelasnya.
Katanya lagi, kedua-dua suspek kini direman dua hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette