KLUANG – Seorang pemandu cedera parah dan tersepit bawah tayar lori selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lagi lori di Kilometer 53.5, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) di sini hari ini.
Difahamkan kemalangan tersebut mengakibatkan kedua-dua laluan di lebuh raya itu tidak dapat dilalui kerana terhalang dan menyebabkan kesesakan sejauh 10 kilometer.
Kemalangan itu yang tular dalam media sosial melibatkan lori pertama jenis Howo dipandu lelaki berusia 38 tahun dengan lori kedua jenis Nissan dipandu lelaki berusia 46 tahun.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori pertama tersebut dari utara menuju ke Selatan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian terdapat lori kedua yang mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan.
“Semasa parkir ekor bahagian belakang lori tersebut terkeluar di lorong kiri tanpa diletakkan sebarang kon keselamatan sebagai amaran awal. Pemandu lori kedua yang rosak itu turun dari lori.
“Pada masa sama lori pertama yang datang dari belakang belakang tidak sempat brek atau mengelak lalu melanggar belakang kanan lori kedua,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, setelah perlanggaran itu pemandu lori pertama tersepit di bahagian hadapan manakala pemandu lori kedua tersepit bawah tayar hadapan kanan dalam longkang di bahu kiri jalan kiri.
“Pemandu lori pertama, Mohd Izuan Mamat yang beralamat di Segamat mengalami kecederaan luka-luka di kaki dan tangan manakala pemandu lori kedua, P Subramaniam, beralamat di Rawang, Selangor mengalami kecederan parah, patah kaki kiri dan kanan,” katanya.
Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan dibawa ambulan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di Kulai untuk rawatan.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan 1 Abd Rahim Taufik berkata, 12 anggota dari BBP Renggam dan Kulai dikejarkan ke lokasi.
Mereka turut dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Liter Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Pihak bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan,” ujarnya.
Tambah beliau, operasi ditamatkan pada pukul 3.58 petang.- MalaysiaGazette