KUALA LUMPUR – Industri perkhidmatan keselamatan menyumbang sekitar 1.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan lebih daripada 100,000 tenaga kerja daripadanya memainkan peranan penting dalam ekosistem ekonomi negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, golongan ini membantu memastikan keberkesanan operasi pelbagai sektor seperti logistik, perkilangan, dan hospitaliti.
“Dokumen ini boleh menjadi rujukan utama bagi penyedia perkhidmatan keselamatan dan pelanggan untuk memastikan perkhidmatan dilaksanakan secara berkesan, profesional, dan amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Sehubungan itu katanya, Kerangka Pekerjaan bagi Industri Perkhidmatan Keselamatan yang dilancarkan pada hari ini selaras dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan bidang latihan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja mahir di Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan Kerangka Pekerjaan tersebut bukti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat diintegrasikan ke dalam pembangunan sektor kritikal seperti perkhidmatan keselamatan.
Jelasnya, sektor kritikal itu kini menjadi tulang belakang kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
“Dengan adanya Kerangka Pekerjaan ini, program TVET dapat disesuaikan untuk memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang.
“Ini juga membuka peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang perkhidmatan keselamatan dengan keyakinan terhadap prospek kerjaya mereka,” katanya.
Terdahulu Zahid berkata, dokumen tersebut memperincikan struktur pekerjaan bagi tiga bidang utama iaitu keselamatan persendirian, perkhidmatan sistem keselamatan dan penyiasatan.
Dalam masa yang sama, katanya, ia dapat dijadikan asas pembangunan tenaga kerja yang mahir dalam teknologi keselamatan moden seperti sistem pengawasan pintar, kecerdasan buatan (AI) dan analitik data.
Ini selaras dengan era Revolusi Industri 4.0 pada masa kini yang berpotensi meningkatkan daya saing industri negara di peringkat global.
“Penggunaan teknologi seperti Internet Kebendaan (IoT) dalam perkhidmatan keselamatan kini menjadi satu keperluan. Ini termasuk kamera pintar yang mampu mengenal pasti tingkah laku mencurigakan dan penggunaan aplikasi mudah alih yang memudahkan komunikasi serta tindak balas pantas.
“Dengan kemahiran yang diperoleh melalui kerangka pekerjaan ini, tenaga kerja akan lebih bersedia menghadapi cabaran-cabaran ini,” tambahnya.
Ujar beliau, kerangka pekerjaan tersebut memberi garis panduan yang jelas kepada pelanggan mengenai tahap kecekapan yang diperlukan termasuk penetapan bayaran perkhidmatan yang sepadan.
“Proses pembangunan Kerangka Pekerjaan ini melibatkan pelbagai pakar yang berpengalaman agar ia relevan dan boleh dijadikan panduan oleh syarikat-syarikat keselamatan dalam menentukan kemahiran pekerja,” ujarnya.- MalaysiaGazette