GEORGE TOWN – Beberapa jalan di negeri ini akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sempena acara larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2024 (PBIM 2024) yang melibatkan jarak sepanjang 42 kilometer (km) bermula malam Sabtu hingga pagi Ahad ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, semua susur naik ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) dari arah George Town dan Batu Maung menuju ke Batu Kawan akan ditutup bagi acara larian itu.
“Selain JSAHMS, beberapa laluan dalam Daerah Seberang Perai Selatan ditutup iaitu Lebuh Bandar Cassia, Persiaran Cassia Barat 4 dan Persiaran Eco Horizon 1 antara yang akan ditutup.
“Penutupan itu akan dilakukan secara berperingkat bermula 10.30 malam Sabtu hingga 11 pagi Ahad.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif serta merancang perjalanan lebih awal semasa penutupan jalan dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Hamzah, pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan petugas lalu lintas sepanjang penutupan dan lencongan jalan dibuat bagi keselamatan serta kelancaran sepanjang program tersebut berlangsung. – MalaysiaGazette