KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau secara jujur dan telus telah memulangkan kembali AS$620 juta daripada AS$681 juta wang sumbangan derma oleh Raja Arab Saudi selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum 2013.
Najib berkata, walaupun wang itu sumbangan derma namun beliau percaya itu adalah dana politik dan memandangkan pilihan raya sudah berakhir, beliau membuat keputusan untuk memulangkannya.
“Saya percaya dana itu ialah derma politik yang telah dijanjikan oleh Almarhum Raja Abdullah dan saya kotakan janji itu dengan menggunakan ia hanya untuk tujuan politik dan kebajikan. Selepas itu, saya pulangkan kembali,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam prosiding bela diri penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan dirinya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.
Kata Najib lagi, bagi menerima dana daripada Arab Saudi, beliau telah membuka akaun bank tempatan, AmIslamic Bank dan bukannya akaun luar pesisir seperti beberapa individu lain.
Jelasnya, beliau bertindak membuka akuan bank tempatan kerana mahu telus dalam menerima dan membelanjakan sumbangan derma tersebut.
“Jika saya mahu seleweng wang 1MDB, saya boleh dengan mudah membuka akaun luar pesisir seperti Jasmine Loo Ai Swan atau Amhari Efendi,” tempeleknya.
Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Prosiding bersambung – MalaysiaGazette