KUALA LUMPUR – Jualan sektor pembuatan berkembang 3.0 peratus tahun ke tahun, mencapai RM161.3 bilion pada Oktober 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, sektor pembuatan meneruskan momentum positifnya, dengan nilai jualan sebanyak RM161.3 billion pada Oktober 2024, menunjukkan pertumbuhan 3.0 peratus, sedikit melebihi dari kenaikan 2.9 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh peningkatan kukuh 11.2 peratus dalam subsektor makanan, minuman & tembakau, selepas kenaikan 5.6 peratus pada September 2024.
Pertumbuhan ini turut disokong oleh peningkatan dalam subsektor peralatan elektrik & elektronik pada 3.2 peratus, serta subsektor mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (4.4%).
Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan menyusut sebanyak 0.6 peratus daripada RM162.3 bilion pada September 2024.
Nilai jualan industri berorientasikan eksport, yang membentuk 71.5 peratus daripada jumlah nilai jualan pembuatan, mengekalkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.0 peratus seperti pada September 2024.
Pertumbuhan stabil ini didorong terutamanya oleh prestasi kukuh dalam industri pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (13.7%); dan Pembuatan produk getah (11.4%).
Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport mengalami penurunan 2.1 peratus pada Oktober 2024.
Sementara itu, industri berorientasikan domestik terus meningkat sebanyak 3.0 peratus (September 2024: 2.5%), dipengaruh terutamanya oleh peningkatan
dalam industri pembuatan produk pemprosesan makanan pada 8.1 peratus, lebih baik berbanding 6.9 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Tambahan lagi, industri yang berkaitan pembinaan, Pembuatan produk logam, kecuali mesin & kelengkapan; dan pembuatan produk galian bukan logam lain masing-masing kekal menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada 6.1 peratus dan 3.9 peratus.
Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan bagi industri berorientasikan domestik melonjak semula kepada 3.5 peratus, memulih dari penurunan 0.7 peratus pada September 2024.
Mohd Uzir menambah, seramai 2.40 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada Oktober 2024, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.9 peratus berbanding pertumbuhan 0.8 peratus pada September 2024.
Peningkatan ini sebahagian besarnya dapat dilihat dalam subsektor makanan, minuman & tembakau (2.0%); produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (1.5%); dan peralatan elektrik & elektronik (0.3%).
Berbanding dengan bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini bertambah sebanyak 0.4 peratus, sedikit perlahan
berbanding 0.5 peratus yang dicatatkan pada September 2024.
Pada Oktober 2024, gaji & upah dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 1.7 peratus, mencecah RM8.28 bilion berbanding bulan sebelumnya, gaji & upah meningkat sebanyak 0.6 peratus.
Ini menerajui kepada peningkatan purata gaji & upah bulanan setiap pekerja sebanyak 0.8 peratus tahun ke tahun kepada RM3,451. Pada masa yang sama, nilai jualan setiap pekerja meningkat sebanyak 2.0 peratus, mencatatkan RM67,215.
Dalam pada itu, sepanjang 10 bulan pertama tahun ini (Januari – Oktober 2024), nilai jualan bagi sektor pembuatan adalah berjumlah RM1,566.1 bilion, meningkat sebanyak 4.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2023 (Januari – Oktober 2023: 0.9%).
Bilangan pekerja menokok sebanyak 0.9 peratus kepada sejumlah 2.40 juta orang, manakala gaji & upah meningkat 1.5 peratus kepada
RM82.1 bilion.
Oleh itu, nilai jualan bagi setiap pekerja berjumlah RM652,514, merekodkan pertumbuhan 3.5 peratus. – MalaysiaGazette