PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika beliau dilabel pengkhianat – susulan pembatalan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Puteh – seluruh Kabinet Pakatan Harapan (PH) juga sama.
Menurut beliau, tidak timbul soal khianat kerana keputusan yang dibuat bersama Jemaah Menteri itu dilakukan tanpa memberi keuntungan kepada dirinya sendiri sebaliknya ia mendahulukan kepentingan negara.
“Macam mana dia boleh kata saya khianat, kalau saya lakukan tanpa keuntungan peribadi untuk negara, Pulau Batu Puteh ini.
“Keputusan dibuat oleh Kabinet, keseluruhan proses sudah dilalui, kalau saya khianat, maka keseluruhan Kabinet termasuk saya punya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga khianat,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.
Tindakan berkenaan antara syor RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
RCI itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
Menurut Dr Mahathir, tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan beliau khianat sebenarnya tidak masuk akal sedangkan ia bertentang dengan pendiriannya semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
“Bagaimana nak musnahkan saya dengan kata saya khianat semua itu, awak tahu pendirian saya terhadap Singapura, saya mempunyai hubungan yang kuat antara Malaysia dengan Singapura,” katanya.
Ditanya tentang kesediaan Dr Mahathir untuk memberi kerjasama jika siasatan jenayah ke atasnya diteruskan, beliau tidak teragak-agak untuk berbuat demikian.
“Kalau ada siasatan, saya sedialah, nak tanya saya, nak periksa saya, nak buat siasatan jenayah, mereka dialu-alukan buat demikian, sebab saya sangat berhati-hati tentang kelakuan saya sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri.
“Walaupun ada tuduhan, saya curi duit daripada kerajaan, sampai sekarang Anwar tidak boleh buktikan meskipun satu sen dicuri oleh saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Keputusan kabinet? Haaaa bukan kah ko buat keputusan sebelum mesyuarat kabinet? Tak baca dapatan RCI kaa