Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1998 atau Akta 589 ditangguhkan pindaannya hari ini.

Menurut menteri bertanggungjawab, Ahmad Fahmi Fadzil, pindaan untuk bacaan kali kedua hari ini ditangguhkan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan lanjut daripada pelbagai pihak antaranya Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat.

“Saya mencadangkan berhasrat untuk menangguhkan bacaan kali kedua RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pindaan 2024 untuk mendapatkan pandangan dan cadangan yang selanjutnya daripada jawatankuasa pilihan khas infrasuktur pengangkutan dan komunikasi dan jawatankuasa pilihan khas hak asasi manusia pilihanraya dan reformasi institusi.

“Kamu (ahli Parlimen) telah minta dan saya telah laksanakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Fahmi berkata, pindaan itu bagi menambah baik peranan serta memperkukuhkan tadbir urus dan pengoperasian MCMC agar lebih berdaya tahan dan mampan untuk mengawal selia industri komunikasi dan multimedia.

Menurutnya, pindaan akta itu juga akan menyumbang kepada pembangunan industri yang lebih tertumpu, kompeten dan efisien menerusi pemantapan aktiviti pengawalseliaan MCMC.

Di Dewan Rakyat, Fahmi beralasan pindaan ditangguhkan untuk mengelak ada pihak yang menggunakan MCMC sebagai alat pemuas politik dengan hanya menyebelahi sesuatu pihak sahaja.

“Suruhanjaya ini milik rakyat maka saya harap lebih ramai yang akan berikan pandangan melalui jawatankuasa pilihan khas dan bawa satu Rang Undang-Undang (RUU) yang kita harap dapat dipersetujui dan disokong oleh Ahli Parlimen,” katanya lagi.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 2 Dis lepas.

Subfasal 3(a) mencadangkan pindaan Seksyen 6 mengenai komposisi keanggotaan MCMC memperuntukkan tiga anggota mewakili Kerajaan Persekutuan dengan seorang daripadanya adalah Ketua Setiausaha bagi kementerian yang dipertanggungjawabkan bagi komunikasi dan multimedia.

Subfasal 3(b) mencadangkan bilangan maksimum keanggotaan dinaikkan daripada lima kepada tujuh manakala subfasal 3(c) menyarankan anggota lain yang dilantik hendaklah memiliki pengalaman dan pengetahuan dalam bidang antaranya komunikasi dan multimedia, kewangan, kejuruteraan, perdagangan, perundangan, ekonomi serta pentadbiran awam dan Subfasal 3(d) melarang anggota dilantik daripada pekerja MCMC.

Fasal 4 bertujuan memasukkan Seksyen baharu 14(a) untuk mengadakan peruntukan bagi pemberhentian pelantikan Pengerusi iaitu jika tidak hadir bertugas, atau tidak ada di Malaysia, atau tidak dapat melaksanakan tugas jawatannya selama enam bulan berturut-turut tanpa kebenaran Menteri.

Fasal 5 pula bertujuan meminda Seksyen 16 untuk memperluas fungsi MCMC antaranya membangun dan mengawal selia piawaian atas infrastruktur, keselamatan, perlindungan keselamatan, mengaudit maklumat pemegang lesen serta aktiviti pemegang lesen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here