KUALA LUMPUR – Inflasi kos perubatan negara serta kewujudan titah adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 merupakan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) bertanyakan Perdana Menteri mengenai langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus dan inflasi kos perubatan negara sebanyak 12.6 peratus pada 2023 yang lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6 peratus pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Dalam sesi sama, Perdana Menteri turut dijadualkan menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai kewujudan titah adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 pada 29 Jan 2024 melibatkan permohonan pengampunan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) pada sesi soal jawab meminta Menteri Ekonomi menyatakan pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol dan menjelaskan pendekatan yang akan diambil kementerian bagi memastikan golongan terkesan menerima bantuan sewajarnya.
Turut menarik perhatian, soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan statistik bagi pampasan hilang upaya yang dibayar oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 2023 serta usaha kementerian untuk mengekang kes tuntutan palsu.
Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Keselamatan dalam Talian 2024, Rang Undang-Undang Pemegang Amanah (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis. – BERNAMA